Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (RoS) telah mengarahkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang baru, untuk tidak membuat apa-apa keputusan bagi pihak parti itu, selagi RoS belum melengkapkan siasatan ke atas pemilihan semula parti itu.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata arahan RoS itu yang diterima oleh DAP melalui suatu surat bertarikh 6 Disember, adalah tidak munasabah dan tidak dapat diterima.

"Ini adalah tidak masuk akal. Setiap kali selepas pemilihan parti kami, kami akan mengemukakan penyata tahunan kami yang antara lain terdiri minit mesyuarat serta barisan jawatankuasa yang dipilih.

"Tetapi tidak pernah berlakunya satu keadaan dimana kita perlu tunggu untuk pengiktirafan RoS sebelum kita beroperasi.

"Kita tidak boleh kata, kita tunggu untuk pengiktirafan dari CEC baru kita beroperasi," katanya semasa satu sidang media di ibu pejabat DAP di sini.

Anthony berkata DAP tidak akan menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang ke atas RoS.

Anthony turut berkata RoS telah meminta DAP untuk mengemukakan empat dokumen untuk membantu siasatan jabatan itu.

"RoS meminta senarai penuh 2,576 ahli yang mengandungi nama ahli, nama cawangan dan alamat, senarai penuh 1,740 ahli yang berhak hadir dan mengundi dengan nama cawangan ahli masing-masing, senarai 985 cawangan yang telah diberikan status 'Sijil A', serta salinan notis DAP Kongres.

"RoS berkata ia akan memaklumkan keputusan ke atas perkara ini setelah maklumat yang diminta dikemukakan," katanya.

Jawatankuasa CEC DAP yang baharu dipilih 29 September lalu, sehingga kini masih belum diiktiraf ROS.

Untuk rekod, DAP terpaksa mengadakan pemilihan semula CEC dalam kongres khas parti tersebut selepas diarah berbuat demikian oleh ROS.

Ini ekoran pemilihan CEC DAP tahun lalu, mengalami kesilapan teknikal yang menyaksikan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari diangkat ke tangga 20 CEC.

Zairil sebelum itu hanya menduduki tangga ke-39.

DAP juga didakwa gagal memberi notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan tersebut.