Isuzu mungkin jenis pendiam agaknya, sebab walaupun trak pikap D-Max mereka memang banyak terjual, ia hanya popular bagi mereka yang ada sedikit pengetahuan (atau minat) dengan segmen pikap. Dan model D-Max ini memang terbukti dalam pelbagai segi, terutamanya kelasakkan, prestasi dan penjimatan bahan api.

Faktor yang terakhir itu memang tidak dapat disangkal lagi, lebih-lebih lagi apabila baru-baru ini Isuzu telah berjaya membawa empat buah trak ini memandu dari Bangkok, Thailand, hinggalah ke Singapura – perjalanan sejauh 1,809 kilometer – menggunakan kurang sedikit satu tangki penuh bahan api! (Tangki D-Max adalah bersaiz 76 liter)

Kejayaan ini melampaui rekod mereka sebelum ini iaitu 1,600km (dari Bangkok ke Melaka) menggunakan D-Max generasi terdahulu.

Varian-varian yang terlibat di dalam pemanduan jarak jauh ini merangkumi model D-Max 2.5-liter dan 3.0-liter, menggunakan kotak gear automatik dan manual.

Cabaran yang dinamakan ‘Dura-Miles Challenge’ ini turut dipantau Persatuan Automobil Malaysia (AAM), bagi memastikan yang kenderaan-kenderaan digunakan adalah di dalam spesifikasi standard.