"Bila umur dah macam ni, kita rasa mungkin ini peluang yang terakhir. Kita pun tak tau umur panjang mana lagi. Sebab tu rasa dia syahdu" - Idham Khalil Shuib, jemaah haji Malaysia.
TIDAK semua perjalanan diukur dengan jarak. Ada perjalanan yang bermula dengan doa yang lama terpendam, dengan sabar yang diuji bertahun-tahun, dan dengan harapan yang tidak pernah pudar dan tidak pernah padam sepenuhnya.
Begitulah perjalanan Idham Khalil Shuib dan isterinya, Nor Zaina Bahar, pasangan dari Kedah yang akhirnya melangkah ke Tanah Suci sebagai tetamu Allah selepas tiga kali membuat rayuan.
Apabila panggilan daripada Pejabat Tabung Haji Jitra diterima, detik itu membungkam kata-kata. Lidah kelu, dada bergetar. Bukan kerana tidak bersedia, tetapi kerana terlalu lama menunggu.
“Rasa cukup seronok, cukup terharu… bila depa telefon, saya terus tak tau nak kata apa. Nak setuju pun suara tak keluar. Tiga tahun buat rayuan, tahun ni Allah bagi,” kata Idham perlahan, dengan mata yang mula berkaca.
Isterinya turut berkongsi rasa yang sama. Harapan yang hampir disimpan jauh, tiba-tiba hadir tanpa diduga.
“Bila tengok nama dapat tu, rasa macam nak teriak (menangis). Tak sangka betul… Alhamdulillah,” katanya ringkas, tetapi sarat makna.
Sebagai jemaah haji, pengalaman menjejakkan kaki ke Madinah dan Mekah membawa rasa yang sukar digambarkan.
Berbeza dengan umrah, haji hadir dengan getar yang lain, lebih dalam, lebih menyentuh jiwa. Saat pertama kali melihat Masjid Nabawi, air mata tumpah tanpa dipinta.
“Bukan sedih… ni terharu gembira. Bila nampak Masjid Nabawi tu, rasa macam Ya Allah… kami dah terima jemputan daripada Dia,” ujar Idham.
Pada usia hampir 57 tahun, kesedaran tentang masa menjadikan setiap langkah terasa bermakna. Di balik rasa syukur, ada renungan yang sunyi tentang umur, tentang kesihatan, dan tentang peluang yang mungkin tidak berulang.
“Bila umur dah macam ni, kita rasa mungkin ni peluang yang terakhir. Kita pun tak tau umur panjang mana lagi. Sebab tu rasa dia syahdu,” katanya, perlahan tetapi jujur.
Kesihatan menjadi amanah paling utama sepanjang berada di Tanah Suci. Pasangan ini memilih untuk bergerak sederhana, tunduk pada nasihat petugas, dan mendidik diri supaya tidak melawan kudrat.
“Panas tu kami dok dalam bilik ja. Subuh, Maghrib, Isyak ja pi masjid. Zohor dengan Asar rehat. Petugas pesan minum ayaq banyak, kami ikut,” katanya.
Di tengah kota suci yang asing, mereka turut membawa secebis rasa rumah. Sambal ikan bilis kering dari Kedah menjadi penawar rindu, menemani waktu makan yang sederhana.
“Bila selera hilang, makan nasi dengan ikan bilis Kedah ni… dia boleh naikkan selera balik,” katanya sambil tersenyum kecil.
Kepada enam orang anak di tanah air, doa mereka tidak pernah putus. Setiap sujud membawa nama anak-anak, setiap air mata memohon kekuatan agar mampu menyempurnakan ibadah hingga ke akhirnya.
“Doakan umi abah sihat, dapat buat haji elok-elok dan balik Malaysia dengan selamat,” pesan Idham.
Untuk mereka yang masih menunggu panggilan, masih menyimpan harapan dan mungkin hampir berputus asa, pasangan ini menitipkan pesan penuh reda.
“Haji ni mai atas jemputan Allah. Kita doa ja, buat sedekah walau kecik, daftar awal. Jangan putus asa… bila sampai masa, nama kita mai jugak.”
Sementara tu bagi Kahamasari Abdul Razab @ Ghazali dan isterinya, Zalila Ahmad, yang juga berasal dari Kedah, panggilan haji itu adalah hasil sebuah perjalanan yang sarat dengan sabar, doa dan persiapan diri yang rapi.
Pasangan ini mendaftar haji sejak 2009. Tahun demi tahun mereka menunggu, memerhati rakan-rakan dan kenalan silih berganti menerima jemputan. Hinggalah satu hari, mesej daripada Tabung Haji muncul - memaklumkan bahawa nama mereka terpilih untuk musim haji kali ini.
“Bila dapat mesej daripada Tabung Haji kata terpilih, rasa terharu sangat. Kita rasa macam tak tau nak kata apa. Memang rasa syukur sungguh-sungguh,” kata Kahamasari.
Bagi mereka, ibadah haji bukan soal kemampuan semata-mata, sebaliknya satu panggilan Ilahi.
“Sebenarnya haji ni panggilan Allah. Kalau nak saja-saja pun, kalau tak dipilih, memang takkan sampai. Kita ni Duyufur Rahman,” katanya.
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia turut melanjutkan penantian mereka, apabila jangkaan awal untuk dipanggil sekitar 2021 atau 2022 terpaksa ditunda. Namun apabila nama mereka akhirnya muncul pada tahun ini, rasa syukur itu hadir bersama kesedaran bahawa persiapan perlu dibuat secara menyeluruh khususnya dari segi kesihatan.
“Tabung Haji pesan mula-mula pasal kesihatan. Jadi bila dapat panggilan tu, saya jaga makan, jaga badan, ikut kursus, buat persediaan betul-betul,” katanya.
Zalila pula bercerita, suaminya mendaftar haji terlebih dahulu tanpa pengetahuannya.
“Saya marah juga mula-mula. Dia daftar sorang-sorang, tak bagitau saya. Bila dia dapat tawaran, saya risau kalau saya tak lepas,” kata Zalila terus terang.
Rayuan dibuat dengan penuh pengharapan. Doa menjadi senjata utama.
“Malam tu dia lulus. Malam tu juga saya buat rayuan. Esoknya terus kena panggil check kesihatan. Memang cepat sangat,” katanya.
Saat menunggu keputusan kesihatan menjadi detik paling mendebarkan, lebih-lebih lagi apabila Kahamasari mempunyai masalah kecing manis dan Zalila berdepan masalah lutut.
“Memang susah hati. Kita tau badan kita macam mana. Tapi kita doa sungguh-sungguh. Alhamdulillah, Allah bagi jalan,” katanya.
Ketibaan di Madinah dan Mekah kali ini memberi rasa yang berbeza berbanding kunjungan umrah sebelum ini. Kali ini mereka hadir sebagai jemaah haji, dengan tempoh hampir 50 hari di Tanah Suci.
“Bila pijak Madinah, rasa dia lain. Haji ni lama. Bukan datang sekejap. Jadi fizikal dengan mental kena bersedia,” katanya.
Kesihatan terus menjadi keutamaan. Pasangan ini memilih untuk beribadah secara sederhana dan tidak berlebihan.
“Sekali-sekala ja kami pi masjid. Kita tak nak paksa diri. Sebab kemuncak haji di Arafah nanti guna tenaga banyak,” katanya.
Mereka juga sedar haji adalah medan ujian kesabaran, termasuk dalam hubungan suami isteri.
“Kami pesan awal-awal, dekat sini jangan bergaduh. Turunkan ego. Kalau ada apa-apa, cakap elok-elok,” katanya sambil tersenyum.
“Kuota haji ni terhad. Ada orang cepat, ada orang lambat. Kita kena terima. Menunggu tu pun ibadah,” katanya.
Baginya, haji bukan soal cepat atau lambat, tetapi kesiapsiagaan apabila panggilan tiba.
“Ini bukan soal giliran semata-mata. Ini rahsia Tuhan,” katanya perlahan.
Di Tanah Suci, pasangan ini belajar bahawa haji bukan sekadar perjalanan fizikal, sebaliknya proses mengenal diri, mengawal emosi dan mendekatkan hati kepada Allah.
Dan apabila tiba masa untuk pulang nanti, mereka berharap bukan sekadar membawa gelaran haji dan hajah, tetapi pulang sebagai insan yang lebih tenang, lebih reda dan lebih dekat dengan Tuhan.