MALAYSIA
Dari ladang ke pentas dunia, nanas permata berharga negara

Nanas diangkat sebagai salah satu permata negara, penyumbang terbesar ekonomi Malaysia. - Foto LPNM
KUALA LUMPUR: Siapa sangka buah tropika yang manis dan segar seperti nanas sebenarnya antara penyumbang penting ekonomi negara.
Ringkasan AI
- Industri nanas Malaysia berkembang pesat sejak 1957, bukan sahaja menghasilkan buah segar tetapi juga produk hiliran bernilai tinggi seperti jus, bioproduk, tekstil dan biokomposit.
- Malaysia mengeksport nanas ke lebih 20 negara dengan nilai eksport mencecah RM1.73 bilion pada 2024, serta mempunyai kelebihan logistik berbanding pesaing utama.
- LPNM menyasarkan 30,000 hektar tanaman menjelang 2030, melatih generasi muda, dan mahu menjadikan 'Malaysian Pineapple' jenama serantau sebagai kebanggaan negara.
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M. Salleh, berkata industri nanas bukan sekadar pertanian tradisional, malah kini diangkat sebagai salah satu sektor bernilai tinggi dengan pulangan pantas serta permintaan kukuh di seluruh dunia.
“Pertanian nanas hari ini bukan sahaja menghasilkan buah segar, tetapi juga jus, puree, dried fruit, malah bioproduk seperti bromelain dan gentian daun untuk tekstil serta biokomposit.
“Kami sekarang dalam usaha ingin menghasilkan produk seperti kasut dan beg menggunakan daun nanas, jadi untuk merealisasikan produk bernilai tinggi ini sebenarnya macam-macam cara hanya dengan menggunakan daun nanas.
“Ini sekaligus membuka peluang pekerjaan, agroteknologi dan juga agropelancongan,” katanya menerusi Syok Podcast: SERIOUSLAH Episode 2, di sini.

Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali (kiri) di makmal pemprosesan produk LPNM. - Foto LPNM
Malaysia kini mengeksport nanas ke lebih 20 negara termasuk China, Singapura, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Pada 2024 sahaja, nilai eksport produk nanas mencecah RM1.73 bilion, dengan variasi premium seperti MD2, Josapine dan N36 yang menjadi pilihan utama.
“Malaysia mempunyai kelebihan logistik serantau. Buah kita sampai lebih segar dan kos lebih kompetitif berbanding pesaing besar seperti Costa Rica dan Filipina,” jelas beliau.
LPNM juga giat melahirkan pelapis muda menerusi program inkubasi dan bimbingan, selain memberi sokongan teknikal, akses pembiayaan serta kemudahan pusat pengumpulan bertaraf eksport.
Dengan sasaran keluasan tanaman mencecah 30,000 hektar menjelang 2030, Malaysia mampu menggandakan nilai eksport nanas, termasuk produk hiliran bernilai tambah.
“Dalam pada masa sama, kami mahu menjadikan ‘Malaysian Pineapple’ satu jenama serantau dan dikenali kerana kualiti, piawaian serta kelestarian.
“Ini bukan sekadar hasil tani, tetapi masa depan ekonomi luar bandar dan kebanggaan negara,” tambahnya.
Industri nanas Malaysia hari ini bukan lagi sekadar makanan sampingan, tetapi satu simbol transformasi pertanian moden membuktikan bahawa nanas benar-benar menjadi kebanggaan negara.

Proses pengeksportan nanas jenis MD2 ke Osaka. - Foto LPNM
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami