KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih meneruskan dasar 90:10 dapat penemapatan guru-guru di negeri kelahiran masing-masing termasuk di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, dasar itu diteruskan sehingga Kabinet memutuskan untuk mengubah kepada pendekatan baharu.

"Dasar yang sedang dilaksanakan (90:10) iaitu 90 peratus guru harus diambil dari negeri Sarawak masih lagi diteruskan sehingga kini.

"KPM mempunyai pendekatan untuk mengisi kekosongan guru di mana-mana negeri di seluruh negeri. Di Sarawak contohnya, kita akan membuat pertukaran guru berasal dari negeri itu untuk bertugas di negeri kelahiran mereka.

"Bagaimanapun, penukaran dan penempatan di negeri kelahiran itu berdasarkan kepada kekosongan penjawatan dan opsyen yang ada," katanya pada sesi Dewan Rakyat pada Khamis.

Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan (GPS-Anyi Ngau) yang ingin tahu sama ada kerajaan masih meneruskan dasar 90:10 atau 90 peratus pengisian untuk anak-anak tempatan.

Mohamad menambah, setakat 31 Julai 2022, 1,010 guru lantikan baharu ditempatkan di sekolah rendah dan menengah di Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, berdasarkan graduan yang berasal dari sarawak yang menepati keperluan opsyen di sekolah bagi negeri tersebut masih belum mencukupi hingga memaksa KPM telah menempatkan seramai 1,603 guru yang berasal dari Semananjung ke sekolah di Sarawak bagi tempoh yang sama.

"Untuk makluman jumlah kekosongan penjawatan guru sekolah rendah dan menengah di Sarawak pada 31 julai 2022 adalah sebanyak 2,815 orang," katanya.

Selain itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang ingin tahu mengenai langkah KPM di Sabah, Mohamad berkata, seramai 1,653 anak Sabah telah dilantik sebagai guru yang mana 1,498 daripadanya merupakan pengambilan 'one-off' manakala, 155 guru dilantik secara kontrak perkhidmatan (CoS).