Kerajaan percaya dasar fiskal yang dilaksanakan susulan krisis akibat pandemik COVID-19 merupakan satu respons yang tepat walaupun S&P Global Ratings mengekalkan penarafan Malaysia pada tahap A- dengan semakan semula prospek daripada stabil ke negatif, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata ia diambil memandangkan keperluan kritikal untuk memastikan langkah rangsangan dan pemulihan ekonomi dilakukan dengan segera untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

"Langkah ini disokong oleh laporan S&P yang optimis mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 7.5 peratus bagi 2021," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Unjuran S&P itu didorong oleh impak negatif wabak COVID-19 terhadap pertumbuhan ekonomi dan kedudukan fiskal negara.

Beliau berkata kerajaan turut percaya respons proaktif terhadap krisis ini adalah tepat dan bersesuaian.

Tengku Zafrul berkata inisiatif dan langkah menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan (perusahaan kecil dan sederhana) serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) -- keseluruhannya bernilai RM295 bilion – bertujuan melindungi nyawa, menyokong perniagaan, menyelamatkan dan menjana pekerjaan serta merangsangkan ekonomi.

"Jumlah nilai RM295 bilion untuk keseluruhan pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA dijangka menyumbang lebih 3.0 peratus kepada pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2020,” katanya.

Beliau berkata sebilangan besar langkah yang diperkenalkan menerusi pakej PRIHATIN dan PENJANA adalah bersifat 'one-off' atau sementara, dan tidak akan mempunyai impak kepada kedudukan kewangan kerajaan bagi jangka sederhana.

Tambahan pula, Malaysia mempunyai kecairan yang mencukupi di pasaran domestik bagi pembiayaan tambahan kerajaan, katanya.

"Kerajaan juga akan memfokus kepada disiplin fiskal untuk mempertahankan keutuhan sistem dan integriti ekonominya, dan juga memastikan Malaysia mampu untuk bangkit segera apabila keadaan ekonomi beransur pulih.

"Pandangan optimis terhadap ekonomi Malaysia juga dikongsi oleh S&P,” katanya.

Beliau berkata bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan tetap komited terhadap agenda reformasi fiskal dan akan meneruskan usaha pembaikan fiskal apabila ekonomi global kembali pulih.

Memandang ke hadapan, kerajaan komited untuk menurunkan defisit fiskal kepada paras di bawah 4.0 peratus daripada KDNK dalam jangka sederhana, katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia mempunyai rekod prestasi pengurusan fiskal yang baik, iaitu semasa Krisis Kewangan Global pada 2008/09, defisit fiskal Malaysia meningkat kepada 6.7 peratus daripada KDNK pada 2009 namun sejak kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 3.4 peratus daripada KDNK pada 2019.

Kedudukan luaran Malaysia tetap kukuh, disokong oleh lebihan akaun semasa, rizab antarabangsa yang mencukupi dan aset luaran milik bank-bank dan syarikat swasta yang tinggi, katanya.

"Dengan kadar pertukaran mata wang yang fleksibel, ekonomi Malaysia tetap berdaya tahan dalam menghadapi kemungkinan kejutan pasaran luaran,” katanya.

Beliau berkata krisis pandemik ini telah mempengaruhi penarafan kredit untuk pelbagai negara, dan ini mencerminkan cabaran getir yang dihadapi oleh ekonomi global seperti prospek pertumbuhan yang lebih lemah, defisit fiskal lebih besar dan tahap hutang lebih tinggi, katanya.

Beliau berkata negara-negara bersifat ekonomi terbuka seperti Malaysia, telah melaksanakan langkah makroekonomi dan fiskal yang menyeluruh untuk mengurangkan impak kepada kesihatan awam dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Justeru, ini juga telah mengakibatkan penarafan kredit yang lebih rendah untuk beberapa negara, baik negara maju atau yang masih berkembang, katanya.

Tengku Zafrul berkata sejak beberapa dekad lepas, Malaysia telah membuktikan daya ketahanannya dalam menangani pelbagai cabaran, termasuk Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global, berteraskan kekukuhan asas ekonomi, kerangka institusi yang baik serta pasaran kewangan yang cukup teguh dan terkawal.

"Kerajaan juga komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, tadbir urus yang terus ditambah baik, pengurusan kewangan awam yang cekap dan reformasi struktur ekonomi demi kelangsungan dan daya ketahanan ekonomi Malaysia bagi jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA