KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang telah dilepaskan daripada senarai bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menerusi Dasar Peluang Kedua perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan kerajaan itu untuk membina hidup baharu yang lebih baik.

Pakar Kewangan Pengguna, Prof Mohamad Fazli Sabri berkata, ini kerana peluang seperti itu mungkin datang cuma sekali dalam seumur hidup mereka.

"Peluang mungkin tidak akan datang kali ketiga atau keempat, gunakan peluang ini untuk menambah pendapatan dan memastikan mereka tidak termasuk dalam kumpulan financial vulnerabitity ataupun kerentanan kewangan," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Dasar Peluang Kedua merupakan satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib rakyat yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil dengan melepaskan mereka daripada kebankrapan melalui syarat-syarat tertentu, bermula 1 Mac 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 tahun lalu berkata, Dasar Peluang Kedua akan diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun ini.

Menurut Anwar, setakat Julai 2023 hampir 14,000 kes muflis dengan hutang kecil di bawah RM50,000 dilepaskan daripada kebankrapan.

Mengulas lanjut mengenai dasar berkenaan, Mohamad Fazli yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia berkata, inisiatif itu mampu memberi impak positif kepada emosi dan stigma orang ramai terhadap individu yang mempunyai masalah kewangan sehingga diisytihar bankrap.

Beliau berkata, kebanyakan golongan muda yang muflis adalah disebabkan kecenderungan mereka untuk menjalani gaya hidup mewah sehingga sanggup berbelanja melebihi kemampuan kewangan atau pendapatan.

Justeru, Mohamad Fazli mencadangkan kepada kerajaan supaya memantau mana-mana individu yang sudah dilepaskan daripada kebankrapan melalui dasar berkenaan bagi mengelak mereka kembali menjadi muflis disebabkan tabiat lama mereka.

"Kena ada program pendidikan berterusan, bagi mereka lebih celik terutama dalam soal-soal untuk menguruskan kewangan termasuk pengurusan kredit hutang ataupun pinjaman," katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan supaya individu yang telah bebas daripada kebankrapan itu berusaha sendiri melengkapkan diri dengan pendidikan dan kefahaman mengenai pengurusan kewangan yang baik agar tidak terjebak semula dalam kerentanan kewangan. - BERNAMA