Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu, berkuat kuasa 1 Feb depan, umum Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini.

Hassan, 60, menggantikan Tan Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang akan tamat tempoh perkhidmatan sebagai Naib Canselor UiTM pada 31 Dis ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berhubung pelantikan itu, yakin Hassan dapat melonjakkan UiTM ke tahap lebih tinggi dengan rekod kepimpinan dan pencapaian pendidikan beliau yang cemerlang.

Sebelum pelantikan itu, Hassan menyandang jawatan sebagai Naib Canselor dan Presiden Universiti Taylor's dan merupakan bekas Ketua Pengarah Pengajian Tinggi antara Januari 2005 hingga April 2008.

Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang matematik daripada University of Manchester (1979), ijazah sarjana sains daripada Brunel University, United Kingdom (1981) dan ijazah kedoktoran falsafah, juga daripada Brunel University (1984) dengan pengkhususan dalam bidang Computer Aided Geometric Design.

Menurut kenyataan itu, Hassan memainkan peranan penting dalam penubuhan universiti penyelidikan dan penubuhan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN).

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Sahol Hamid atas perkhidmatannya sebagai naib canselor UiTM mulai 1 Januari 2010.

"(Sahol Hamid) telah banyak menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan UiTM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang tersohor di negara dan juga di persada antarabangsa, dan juga kepada kemajuan anak-anak Bumiputera," menurutnya.