Ringkasan AI
- Ribuan pelanggan bank utama di Amerika Syarikat mengalami gangguan perkhidmatan perbankan akibat masalah teknikal pada Isnin.
- Chase Bank memaklumkan gangguan berpunca daripada pepijat perisian, bukan serangan siber, dan pelanggan masih boleh mengakses akaun serta dana mereka.
- Laporan gangguan semakin berkurangan menjelang petang, menandakan perkhidmatan bank-bank utama beransur pulih.
WASHINGTON: Ribuan pelanggan beberapa bank utama di Amerika Syarikat (AS), termasuk JPMorgan Chase, Wells Fargo dan Bank of America, dilaporkan mengalami kesukaran mengakses perkhidmatan perbankan berikutan gangguan teknikal yang berlaku pada Isnin.
Menurut laporan BBC, masalah itu mula dikesan pada sebelah petang waktu tempatan apabila pelanggan melaporkan pelbagai gangguan, termasuk kelewatan transaksi dan kesukaran menggunakan sesetengah perkhidmatan perbankan.
Chase Bank, institusi perbankan terbesar di AS, memaklumkan gangguan berkenaan mungkin berpunca daripada pepijat perisian dalam sistem perkakasannya dan menegaskan masalah itu bersifat sementara.
Bank itu turut menjelaskan bahawa gangguan berkenaan bukan disebabkan serangan siber atau masalah yang melibatkan keseluruhan sistem perbankan negara.
Dalam kenyataan kepada pelanggan, Chase berkata beberapa transaksi mengambil masa lebih lama daripada biasa untuk diproses, namun pelanggan masih mempunyai akses kepada akaun serta dana mereka.
Menurut laman pemantauan gangguan perkhidmatan Downdetector, hampir 5,000 laporan diterima daripada pelanggan Chase yang menghadapi masalah sepanjang tempoh gangguan itu.
Selain Chase, pelanggan beberapa institusi kewangan lain termasuk US Bank turut melaporkan isu berkaitan sistem pembayaran digital Zelle.
US Bank berkata sistemnya tidak terjejas secara langsung, namun sebahagian pelanggan menerima mesej ralat ketika cuba menggunakan Zelle untuk membuat pembayaran.
Zelle pula memaklumkan platformnya berfungsi seperti biasa dan mencadangkan masalah yang dialami mungkin berpunca daripada sistem bank-bank tertentu yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Sementara itu, pelanggan turut melaporkan gangguan melibatkan Truist, PNC dan Capital One, namun syarikat-syarikat tersebut memaklumkan kepada BBC bahawa operasi mereka tidak terjejas.
Menjelang petang Isnin, jumlah laporan gangguan melibatkan Chase, Bank of America dan US Bank dilaporkan semakin berkurangan, menandakan perkhidmatan secara beransur-ansur kembali pulih.
Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas beberapa gangguan teknologi berasingan melanda AS, termasuk gangguan besar melibatkan Microsoft, masalah rangkaian telekomunikasi serta kegagalan sistem yang mengakibatkan penerbangan di seluruh negara terpaksa digantung sementara.
BBC melaporkan punca sebenar pepijat yang mencetuskan gangguan terbaharu itu masih belum dikenal pasti.