KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan menipu dan memasuki perjanjian pinjaman untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat dan helikopter berharga lebih RM7 juta, enam tahun lalu.

Ismail Hassan, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun dengan memperdayakannya bahawa tertuduh hendak membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX) dengan harga RM7,092,995.

Dia dituduh dengan niat curang telah menyerahkan dua cek bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada lelaki tersebut sedangkan dia mengetahui bahawa cek-cek tersebut tidak boleh ditunaikan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas di sini pada 21 Februari 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa sebagai seorang muflis yang belum dilepaskan telah memasuki satu perjanjian pinjaman bertarikh 29 November 2017 dengan lelaki sama bagi tujuan pembelian pesawat dan helikopter sama serta penubuhan sebuah syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini pada 29 November 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Josiendra Abu Senin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Namun, peguam Datuk Zainal Omar merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana telah muflis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan semula kes.

- Sinar Harian