PERDANA Menteri India Narendra Modi menyeru kepada dunia agar memainkan peranan lebih efektif dalam memastikan amalan sistem pembuangan sisa sampah dengan betul ke arah gaya hidup yang lebih lestari.

"Adalah sangat penting untuk kita beralih daripada ekonomi guna buang hari ini ke arah ekonomi bersifat kitar semula," kata Modi dalam ucapannya pada forum Agenda Davos 2022 yang diadakan secara maya.

Menurutnya, walaupun India dihuni 17 peratus penduduk dunia, namun negara itu hanya menyumbang sekitar 5 peratus pelepasan global.

India, katanya, telah melancarkan International Solar Alliance di Persidangan Perubahan Iklim ke-26 (COP26) untuk memastikan akses universal kepada tenaga suria mampu milik di mana hari ini ia menjana 40 peratus tenaga daripada sumber bukan fosil.

Modi menggariskan fasa pertumbuhan India seterusnya ialah "hijau, bersih, lestari dan boleh dipercayai".

Malah, India juga kini, jelasnya, merupakan kuasa keusahawanan yang telah mencipta 10,000 syarikat pemula baharu dalam tempoh enam bulan lalu dan lebih 40 syarikat berstatus unicorn pada 2021.

Ia sekali gus melonjakkan negara itu ke dalam senarai tiga teratas dunia untuk usaha niaga baharu bernilai berbilion dolar.

Infrastruktur digitalnya turut mencatatkan perkembangan yang pesat dengan lebih 4.4 bilion transaksi dicatatkan sehingga kini.

Dalam tempoh 2020 hingga 2021, jelasnya, negara itu berjaya menarik AS$82 bilion dalam pelaburan langsung asing.

Justeru, jelas Modi, India kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai untuk rantaian bekalan global.


[TERKINI] Ucapan Khas Perdana Menteri India, Narendra Modi sempena Davos Agenda 2022