KUALA LUMPUR: Ketahanan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dilihat sebagai manifestasi kematangan institusi politik Malaysia apabila keupayaan kepimpinan beliau berjaya mengurus perbezaan, membina konsensus dan mengekalkan keyakinan institusi utama negara.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban berkata, Dr. Mazlan Che Soh berkata, jika sebelum ini perubahan kerajaan sering dikaitkan dengan krisis dan ketidakstabilan, pengalaman sejak 2022 menunjukkan bahawa kerajaan campuran boleh berfungsi dengan lebih stabil.
Dari perspektif pentadbiran awam, katanya, ukuran sebenar kejayaan seseorang Perdana Menteri bukan sekadar keupayaannya untuk kekal berkuasa, tetapi sejauh mana beliau berjaya menukarkan kestabilan politik kepada reformasi institusi yang berkekalan.
Dalam hal ini, jelasnya, Anwar berjaya melepasi fasa pertama iaitu menstabilkan kerajaan pasca PRU15, namun fasa kedua yang lebih sukar ialah menterjemahkan kestabilan tersebut kepada perubahan struktur yang dapat dirasai rakyat.
“Kerajaan Perpaduan yang dibentuk berjaya mengelakkan ketidaktentuan politik yang berlarutan, tetapi pada masa yang sama memerlukan banyak kompromi politik.
“Persoalan yang wajar ditimbulkan ialah sama ada kompromi tersebut memperkukuh agenda reformasi atau sebaliknya memperlahankan beberapa pembaharuan yang pernah dijanjikan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mazlan berkata, cabaran terbesar Anwar mungkin bukan lagi untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, tetapi untuk memastikan legasi pentadbirannya diukur melalui reformasi institusi.
Ini termasuk peningkatan produktiviti ekonomi, pengukuhan integriti tadbir urus dan pembinaan kapasiti negara menghadapi cabaran masa depan.
“Sejarah lazimnya tidak menilai pemimpin berdasarkan tempoh mereka memegang jawatan, tetapi berdasarkan perubahan yang berjaya mereka tinggalkan kepada negara,” katanya.
Menurutnya, selepas hampir empat tahun, persoalan utama bukan lagi sama ada Anwar mampu bertahan sebagai Perdana Menteri.
Kata beliau, soalan yang lebih penting ialah sama ada kestabilan politik yang berjaya dibinanya dapat diterjemahkan kepada reformasi institusi yang mampu bertahan selepas beliau tidak lagi berada di Putrajaya.
“Disitulah ukuran sebenar kejayaan seorang negarawan,” katanya.