KUALA LUMPUR: Kajian dan tindakan segera sedang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota, yang dilihat semakin meruncing sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, antara fokus utama adalah untuk memastikan pengurusan jajaran jalan raya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dapat diselaraskan.

Jelas beliau, pendekatan yang diputuskan kelak akan dilaksanakan mengikut fasa bagi mengurangkan kesesakan yang tidak sepatutnya berlaku.

"Saya lihat sebahagiannya (punca) menyumbang kepada kesesakan jalan raya adalah kerja-kerja pembaikan jalan raya dan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan ketika waktu puncak, atau pada waktu yang tidak sepatutnya. Ini semua boleh menyumbang kepada kesesakan yang tidak boleh kita kawal.

"Kerana itu, saya sebut berkali-kali bermula dari jangka masa ini pihak DBKL dan saya sendiri akan melihat tentang perkembangan perkara-perkara yang boleh kita laksanakan serta merta, yang boleh laksanakan dalam jangka masa tempoh tertentu dan jangka masa panjang.

"Yang penting bagi kita ialah pengurusan jajaran jalan raya di Wilayah KL ini dapat kita selaraskan dan kurangkan kesesakan yang tidak perlu," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Aidilfitri@Dataran Merdeka yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama DBKL dan rakan strategik.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Mohd Daud Bakar dan Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Mengulas mengenai sambutan tersebut, Ahli Parlimen Jelebu itu berharap institusi-institusi keagamaan di setiap kawasan Parlimen boleh menganjurkan program sedemikian pada perayaan akan datang sebagai usaha menyatupadukan Keluarga Malaysia.

"Umpamanya di Jelebu saya boleh gabungkan dengan semua masjid dan surau, apatah lagi kita boleh gandingkan dengan semua jabatan yang berada di kawasan Parlimen.

"Ini kerana, apabila ia dilakukan sikit sebanyak menyumbang kepada kekuatan dalam kalangan masyarakat tempatan yang berada di kawasan berkenaan. Kerana itu, saya sebut tadi bahawa model ini sangat baik yang boleh dijadikan contoh dan ikutan di kawasan dan negeri lain," ujarnya.

Dianggarkan lebih 20,000 masyarakat berbilang kaum dan agama hadir memeriahkan Aidilfitri@Dataran Merdeka, yang kali terakhir dianjurkan pada 2019.