KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan 18 struktur tanpa kebenaran yang didirikan di rizab jalan awam sekitar Pasar Pagi Terbuka, Jalan Rejang, Setiawangsa, di sini semalam.
DBKL menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Menurut DBKL, tindakan perobohan berkenaan dilaksanakan mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 manakala dua tindakan sitaan dilakukan di bawah Seksyen 46(1)(d) akta sama.
“DBKL akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap sebarang pembinaan struktur tanpa kelulusan atas rizab jalan awam demi menjaga keselamatan dan kepentingan orang ramai serta menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa,” menurut hantaran itu.
Sebarang aduan atau maklum balas boleh disalurkan di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.
-- BERNAMA