Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini dengan rasminya mengisytiharkan bahawa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 satu kemalangan dan kesemua 239 penumpangnya dianggap terkorban.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam satu pengumuman khas mengenai pesawat MH370 tersebut di stesen Radion dan Televisyen Malaysia (RTM).

"Oleh yang demikian, dengan rasa berat hati dan amat dukacita, bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami secara rasminya mengisytiharkan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 telah terlibat dalam nahas berdasarkan Piawai Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Chicago, bahawa kesemua 239 penumpang dan anak kapal di atas pesawat MH370 telah dianggap terkorban," katanya.

Menurut Azharuddin, Bab 1 dari Lampiran 13 konvensyen itu menyatakan bahawa istilah 'kemalangan' juga termasuk kapal udara itu hilang.

Katanya ia juga bermaksud pesawat itu dianggap hilang apabila usaha mencari dan menyelamat secara rasminya ditamatkan atau bangkai pesawat gagal dikesan.

Walau bagaimanapun, Azharuddin turut memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan tetap komited dalam menjadikan pencarian pesawat itu satu keutamaan.

"Kerajaan Malaysia, komited untuk meneruskan segala usaha yang munasabah bagi membawa kesimpulan kepada tragedi malang ini, dengan kerjasama yang berterusan dan bantuan dari Kerajaan China dan Australia," katanya.

Azharuddin berkata, sehingga kini pencarian dasar masih diteruskan di mana sedang dijalankan oleh empat buah kapal iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan Fugro Supporter, melibatkan kawasan seluas 18,600 kilometer persegi.

Menurutnya ia adalah berdasarkan analisis bahawa pesawat tersebut telah kehabisan minyak dan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Sementara itu, Azharuddin memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia akan tetap melaksanakan tanggungjawabnya berhubung hak-hak serta kepentingan waris penumpang dan anak kapal MH370, termasuk pampasan sama ada melalui konsultansi atau undang-undang.

Katanya pihak MAS bersedia untuk meneruskan proses pampasan serta merta, dengan mengambil kira kesediaan pihak waris untuk meneruskan langkah itu.

Satu seksyen khas bagi waris pesawat juga telah dibuat di laman web rasmi MH370 iaitu http://www.mh370.gov.my yang turut memuatkan maklumat tentang pencarian, penyiasatan, pampasan, respon tentang soalan waris dan juga borang bantuan untuk waris.

Selain itu, Azharuddin turut memberitahu bahawa siasatan jenayah yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan siasatan keselamatan terhadap pesawat MH370 juga sedang diteruskan.

Bagaimanapun katanya buat masa ini, siasatan bagi kedua-duanya masih terhad kerana bukti fizikal ketika ini masih kurang.

"Oleh itu pada masa ini tidak ada bukti untuk menyokong apa-apa spekulasi tentang punca kemalangan.

"Satu penyata interim memperincikan perkembangan siasatan keselamatan dijangka akan dikeluarkan pada atau sekitar ulang tahun kemalangan," tambah Azharuddin.