Siri pertama debat awam bertema 'Re:Action - Youth Engaged' anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berlangsung jam 8 malam ini.

Bertempat di Pusat Kebudayaan UIAM Gombak, ia akan menampilkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan berdepan pendebat terbaik Debat Parlimen British Asia 2018, Ahmad Syarifuddin Ahmad Fakhri.

Usul yang akan dibahaskan melalui debat dalam bahasa Inggeris ini bertajuk 'Pemansuhan Akta Anti-Berita Tidak Benar Adalah Satu Kesilapan'.

Kedua-dua Syed Saddiq dan Ahmad Syarifuddin, atau juga dikenali sebagai Syarif Fakhri, akan disertai pendebat muda yang dipilih secara atas talian melalui video yang dihantar orang awam.




Pasukan Syed Saddiq akan disertai pelajar Tingkatan 4 Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Hasya Atiyah Khairuddin.

Manakala, pasukan Syarif disertai Kishan Sivabalan, Kapten Pasukan Malaysia di Kejohanan Debat Sekolah-Sekolah Sedunia 2018.


Syed Saddiq (tengah) pada sidang media debat awam Re:Action - Youth Engaged di Kementerian Belia dan Sukan, 12 Sept, 2018. Astro AWANI

Debat yang akan diadakan secara lapan siri dalam tempoh setahun ini mempunyai misi serampang dua mata bagi mempertingkatkan kemahiran pemikiran kritikal dan penguasaan bahasa Inggeris golongan belia.

Dalam setiap siri, dua pasukan terdiri dari pelajar atau orang awam akan berdebat pelbagai topik termasuk isu politik, ekonomi, sosial atau akademik.

VIDEO: UIA Menang Debat Asia

Menurut Syed Saddiq, ia juga platform terbaik buat belia menyuarakan pendapat mereka mengenai isu penting yang berlaku dalam negara.

Beliau sendiri merupakan pemenang anugerah Pendebat Terbaik Asia di pertandingan Debat Parlimen British Asia sebanyak tiga kali.

Astro AWANI merupakan rakan media rasmi siri debat ini dan akan menyiarkannya secara langsung di semua platform kami di saluran 501 dan Facebook Astro Awani bermula jam 8.30 malam.