BRUSSELS: Malaysia menyertai ahli-ahli parlimen antarabangsa dan pihak berkepentingan dalam mengendors Deklarasi Brussels di Kongres Parlimen Global Sumud, sekali gus menandakan usaha kolektif memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa berkaitan Palestin dan Lubnan.
Deklarasi tersebut menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mesti dilaksanakan secara konsisten dan berlandaskan niat baik, dengan menekankan bahawa tanggungjawab bukan sekadar pengiktirafan, tetapi turut merangkumi tindakan konkrit dalam melindungi penduduk terjejas serta memulihkan maruah dan hak penentuan nasib sendiri.
Advertisement
Antara rujukan utama termasuklah dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pendudukan secara tidak sah secara berterusan wilayah Palestin, serta kebimbangan terhadap kegagalan pelaksanaan langkah-langkah sementara dalam kes yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel.
Deklarasi itu turut menegaskan semula hak asasi yang tidak boleh dinafikan bagi rakyat Palestin dan Lubnan, termasuk kedaulatan, kebertanggungjawaban, pampasan serta kawalan terhadap sumber semula jadi.
Para penandatangan komited terhadap langkah perundangan, politik dan ekonomi yang diselaraskan, termasuk memastikan bahawa entiti negara dan swasta, tidak menyumbang kepada situasi yang menyalahi undang-undang melalui perdagangan, pelaburan atau kerjasama teknologi.
Deklarasi itu turut menyeru kepada kebertanggungjawaban melalui mekanisme antarabangsa serta menekankan keperluan segera untuk memulihkan keadaan yang diperlukan bagi kedaulatan ekonomi, termasuk sumber tanah, air, pertanian dan tenaga.
Satu komponen penting dalam deklarasi itu ialah gesaan untuk mewujudkan koridor kemanusiaan maritim ke Gaza, yang bertujuan memastikan penghantaran barangan keperluan dapat disalurkan apabila akses darat disekat.
Delegasi Malaysia diketuai Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Palestin Syed Ibrahim Syed Noh bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby.
Turut serta dalam delegasi tersebut ialah ahli jawatankuasanya termasuk Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman.
Delegasi itu turut disokong pertubuhan kemanusiaan seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Cinta Gaza Malaysia, Cinta Salam Malaysia dan Gagasan MyAqsa Defender, bersama pakar undang-undang Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia serta wakil media daripada Bernama dan TV AlHijrah.
Mengulas dokumen itu, Syed Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata bahawa sering timbul persoalan mengenai apa yang berlaku selepas sesuatu deklarasi ditandatangani, namun beliau menekankan kepentingan membina keyakinan dan sokongan.
“Kita tidak mahu deklarasi itu tinggal hanya deklarasi. Kita akan lihat secara terperinci apakah yang kita boleh laksanakan pada peringkat negara ataupun rantau.
“Kita mungkin tidak boleh laksanakan semuanya, tapi kita kena pilih yang mana yang paling penting dan kita letakkan keutamaan...bila keutamaan jelas, kita ada rancangannya insya-Allah,” katanya.
Syed Ibrahim berkata perbincangan akan diteruskan di Malaysia, melibatkan ahli parlimen, kumpulan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan, bagi merangka pendekatan yang lebih tersusun dan diselaraskan.
Beliau berkata walaupun deklarasi itu tidak mengikat dari segi undang-undang, ia membawa makna dari sudut politik dan moral, mencerminkan komitmen bersama merentasi kerajaan dan pembangkang.
Penandatanganan Deklarasi Brussels itu menandakan berakhirnya Kongres Parlimen Global Sumud yang berlangsung di sini pada Rabu.
-- BERNAMA
TAG: Deklarasi Brussels, hak asasi manusia, Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh