Skip to main content

Malaysia

Pembelajaran bahasa Cina, Tamil di PPKI SJKC, SJKT bermula tahun depan

61634871615_sekolahrendah.jpg
Langkah itu bagi memperkasakan pendidikan karakter, kemahiran literasi dan numerasi. - Gambar hiasan

ALOR GAJAH: Pembelajaran bahasa Cina dan Tamil akan diperkenalkan kepada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bermula tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata langkah itu sebahagian daripada Kurikulum Persekolahan 2027 iaitu kurikulum kebangsaan baharu yang dilancarkan Kementerian Pendidikan bagi memperkasakan pendidikan karakter, kemahiran literasi dan numerasi.

Advertisement

"Ini amat penting kerana bagi pelajar PPKI, ada mempunyai progres yang baik mereka boleh masuk ke kelas aliran perdana dengan mereka perlu mempunyai kemahiran ataupun pengetahuan untuk menguasai bahasa ibunda sendiri dalam pembelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Simposium Kepimpinan Digital Guru Besar SJKT Malaysia ke Arah Reformasi Pendidikan MADANI 2026 di sini malam tadi.

Simposium tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat, akan disertai kira-kira 470 guru besar dari SJKT seluruh negara.

Dalam pada itu, Wong berkata sebanyak 140 SJKT yang mempunyai 30 pelajar akan dibekalkan dengan televisyen pintar pada tahun ini.

Beliau berkata ia susulan pemberian peranti sama kepada 387 SJKT menerusi peruntukan disalurkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) pada tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video