ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah bahawa amalan menabung sejak awal secara konsisten menjadi cerminan kebijaksanaan individu dalam merancang kewangan.
Menurut baginda, ia juga adalah bukti dimana dengan sifat sabar dan usaha yang berterusan, seseorang individu mampu mencapai syarat kewajipan untuk menunaikan ibadah haji.
Advertisement
Tambah Sultan Sallehuddin, ketekunan luar biasa para bakal haji yang telah menabung sejak awal di Tabung Haji dengan penuh disiplin itu juga menjadikan impian kesemua mereka untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci berjaya dicapai.
Baginda turut berharap semangat sedemikian menjadi inspirasi kepada generasi muda di Malaysia agar mereka juga mula merancang perjalanan haji mereka sejak awal dengan menjadikan budaya menabung di Tabung Haji, sebagai amalan yang berterusan.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Negeri Kedah di Pusat Konvensyen Hotel Raia, Alor Setar, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, baginda menzahirkan harapan agar jemaah haji dapat memperbanyakkan ibadah selain menjaga adab, disiplin serta memelihara nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci.
Baginda turut menasihati jemaah haji terutama dari negeri Kedah untuk sentiasa mengutamakan kesihatan selain sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas Tabung Haji yang bertugas sepanjang tempoh ibadah haji musim ini.
Sultan Sallehuddin turut mendoakan agar semua bakal jemaah haji dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan kembali ke tanah air sebagai haji yang mabrur.
Untuk rekod, negeri Kedah mencatatkan jumlah keseluruhan jemaah seramai 2,562 orang merangkumi 1,082 jemaah lelaki dan 1480 jemaah wanita bagi musim haji kali ini.