SEOUL: Dua jet pejuang Tentera Udara Korea Selatan berlanggar di udara pada 2021 selepas juruterbang terlibat mengambil gambar dan merakam video semasa misi penerbangan, menurut dapatan pihak berkuasa negara itu.
Menurut Lembaga Audit dan Pemeriksaan Korea Selatan, insiden berkenaan berlaku ketika kedua-dua jet menjalankan misi latihan berhampiran bandar Daegu.
Advertisement
Kedua-dua juruterbang terselamat tanpa kecederaan, namun pelanggaran itu menyebabkan kerosakan pada pesawat, dengan kos pembaikan mencecah 880 juta won (RM2.37 juta).
Salah seorang juruterbang, yang ketika itu menerbangkan pesawat pengiring (wingman), dilaporkan mengambil gambar menggunakan telefon bimbit peribadi bagi memperingati penerbangan terakhirnya bersama unit tersebut.
Amalan mengambil gambar semasa penerbangan penting didapati menjadi kebiasaan dalam kalangan juruterbang ketika itu.
Laporan menyatakan juruterbang utama pesawat hadapan turut meminta rakan setugasnya merakam video pesawat pengiring.
Bagaimanapun, apabila juruterbang pengiring melakukan gerakan secara mengejut untuk mendapatkan sudut rakaman lebih baik, kedua-dua jet F‑15K itu menjadi terlalu rapat dan akhirnya berlanggar.
Tentera Udara Korea Selatan menggantung juruterbang berkenaan, yang kemudiannya meninggalkan perkhidmatan tentera dan kini bekerja dengan syarikat penerbangan komersial.
Pihak tentera pada awalnya menuntut supaya beliau membayar keseluruhan kos pembaikan, namun selepas rayuan dan siasatan lanjut, Lembaga Audit memutuskan juruterbang itu hanya perlu membayar 88 juta won (RM235,000), atau satu persepuluh daripada jumlah dituntut.
Lembaga Audit turut menyatakan Tentera Udara juga memikul sebahagian tanggungjawab kerana gagal mengawal selia penggunaan kamera peribadi oleh juruterbang dengan jelas.
Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut sebarang tindakan terhadap juruterbang lain yang terlibat dalam insiden tersebut.