GEORGE TOWN: Tiga lagi ladang babi di Pulau Pinang merekodkan kes baharu jangkitan penyakit demam babi Afrika atau 'African swine fever' (ASF), menjadikan jumlah keseluruhan ladang terkesan wabak di negeri itu sebanyak 27 ladang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata jangkitan terbaru direkodkan di daerah Barat Daya ( BD) menjadikan jumlah keseluruhan populasi babi yang terjangkit di seluruh negeri itu adalah 62,197 ekor .

Jangkitan sebelum ini membabitkan 18 di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), dua di Seberang Perai Tengah (SPT), empat di Seberang Perai Utara.( SPU).

"Sehingga tempoh sama juga (2 Februari 2023), sebanyak 11,943 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang-ladang positif dikenal pasti. Kerja-kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit.

"Bangkai babi yang dilupuskan ditanam di satu kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan bagi memastikan tidak berlaku kacau ganggu kepada orang awam," katanya.

Kon Yeow berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Komtar, George Town pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, perebakan penyakit itu ke daerah Barat Daya mungkin berpunca daripada lori-lori yang digunakan untuk mengangkut babi-babi ke rumah sembelihan dimana lori itu berkemungkinan tidak disanitasi dengan betul.

"Seperti mana setiap kali buat seruan kepada orang awam tidak merasa cemas dengan penyakit ASF kerana ia bukan penyakit berjangkit dan bukan penyakit zoonatik kerana ia hanya  menjangkiti babi ternakan dan babi hutan namun penyakit ini cepat merebak dan boleh sebabkan 100 peratus kematian babi yang dijangkiti sahaja," tambahnya.

Jelas beliau lagi, JPVPP juga telah menghantar permohonan pampasan bagi 10 ladang babi yang telah selesai proses pelupusan kepada Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV), Putrajaya untuk dibawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan bagi tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata,kerja-kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit.

Katanya, sekiranya ladang-ladang babi komersil yang disahkan dijangkiti ASF mempunyai keluasan tanah yang mencukupi, bangkai babi boleh dilupuskan di kawasan ladang.

Dalam pada itu katanya sebarang kematian membabitkan babi hutan, babi kampung atau babi komersial boleh memaklumkan kepada JPV Daerah terdekat, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri atau menerusi Hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit JPV Pulau Pinang di talian 04-504 1047.