ALOR GAJAH: Demi mahu terus mencurah bakti kepada negara yang sedang berperang dengan pandemik COVID-19, seorang jururawat Hee Kim Lan, 57, yang bersara wajib Januari lepas kembali berkhidmat sebagai sukarelawan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Bekas Ketua Penyelia Jururawat Hospital Melaka itu berkata, beliau terpaksa melupakan hasrat meluangkan masa dengan keluarga buat ketika ini selepas melihat situasi semasa yang kritikal dan peningkatan kes saban hari selain kekurangan tenaga kerja.

Hee, yang berkhidmat selama 31 tahun di beberapa hospital antaranya Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata beliau tidak menolak untuk berkhidmat sebagai pemberi vaksin apabila ditawarkan untuk menyertai program itu.

"Kalau ikutkan lepas bersara saya sememangnya mahu menghabiskan masa bersama keluarga. Suami pada mula melarang saya sertai sebagai sukarelawan tetapi apabila diberi penerangan mengenai keadaan semasa yang sukar akhirnya dia faham dan mengizinkan saya untuk bersama-sama dalam program vaksinasi ini.

"Amanah dan tanggungjawab itu yang perlu kita pikul bersama dengan semangat kerja berpasukan akan melancarkan program vaksinasi ini untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai," katanya ketika ditemui pemberita pada program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kompleks Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Machap Jaya di sini hari ini.

Hee berkata sepanjang bertugas sebagai pemberi vaksin, beliau menemui pelbagai ragam dan gelagat penerima yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi program MOVAK itu.

Katanya, antara perkara yang tidak boleh dilupakan ialah menyuntik individu yang melatah sehingga memaksa ramai petugas memegang dan menenangkan penerima itu untuk memastikan pemberian vaksin dapat diberikan dengan selamat.

Hee berkata untuk mengelakkan kegusaran masyarakat mengenai isu picagari 'kosong' yang sedang hangat diperkatakan ketika ini, beliau akan menunjukkan beberapa kali picagari mengandungi vaksin sebelum mereka menerima suntikan.

"Saya akan tunjukkan jarum dan berapa kuantiti vaksin yang digunakan dan selepas suntikan selesai, jarum itu ditunjukkan semula kepada penerima.

"Dengan cara itu ia dapat memastikan individu penerima vaksin tidak bimbang dengan isu picagari kosong dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA