KUALA LUMPUR: Hasrat beberapa pemimpin politik termasuk dari kalangan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahu mengadakan protes jalanan berhubung beberapa isu termasuk kenaikan harga barang dilihat sebagai tindakan yang tidak membantu keadaan.

Sebaliknya, pemimpin berkenaan dipelawa oleh Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, untuk melapangkan masa menemui beliau bagi berbincang dan berkongsi idea bagi menangani masalah yang melanda negara ketika ini.

Menurut beliau, untuk mengadakan demonstrasi di negara demokrasi seperti Malaysia sememangnya tiada masalah.

"Saya fikir kita negara demokrasi, yang nak demo (demonstrasi) itu demolah. Saya belum jumpa lagi dalam sejarah dunia buat demo maka inflasi turun.

"Tapi saya nak tawarkan mereka ketua-ketua demo itu kalau ada masa datanglah jumpa saya. Saya nak dengar idea dan sayapun bukan pandai nak buat seorang,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia sempena sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, hari ini

Dalam masa sama, Annuar mengalu-alukan sebarang cadangan dan perbincangan memandangkan masalah inflasi merupakan isu yang dihadapi di peringkat global dan bersifat kompleks.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan oleh beliau juga, katanya, turut memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk turut sama mencari solusi terbaik menangani inflasi ketika ini.

"Macam minggu ini kita jemput Bank Negara Malaysia (BNM) dan kita juga bercadang untuk menjemput beberapa daripada kalangan pakar-pakar," kata beliau lagi.

Semalam, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu memaklumkan beliau dalam perancangan untuk turun ke jalan raya bagi mengadakan protes berhubung isu-isu negara.

Mohamad berkata, antara isu yang akan disuarakan melibatkan kenaikan harga barangan, rasuah serta penyelewengan.

Menurut Mohamad, Pakatan Harapan (PH) juga akan berbincang dengan pihak-pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya turun bersama-sama dan menyertai protes berkenaan.