Mana-mana pihak yang didapati bersalah mengeluar, mencetak atau menempa mata wang Malaysia tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM), boleh didenda tidak melebihi RM50 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Itu merupakan antara peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Mata Wang 2019 yang dibentangkan kali pertama oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah di hadapan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Yusof di Parlimen, hari ini.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang berlangsung sehingga 5 Disember depan.

Pada masa ini, perbuatan penyalinan atau pengeluaran semula mata wang kertas dan duit syiling Malaysia tanpa kebenaran BNM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.

Antara peruntukan lain dalam RUU Mata Wang 2019 adalah tiada sesiapa pun boleh menggunakan sebarang gambar, lukisan atau reka bentuk yang menyerupai suatu mata wang kertas atau syiling dalam apa juga penerbitan dan dalam apa-apa saiz, skala atau warna tanpa diluluskan oleh BNM.

Jika disabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

-- BERNAMA