RIYADH: Sistem pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas tiga peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Riyadh, ketika ketegangan antara kedua-dua pihak terus memuncak susulan siri serangan balas dalam konflik Yemen.
Menurut Al Jazeera, pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan kepada penduduk ibu negara itu sebelum menarik balik notis berkenaan tidak lama kemudian, menjadikannya malam ketiga berturut-turut amaran keselamatan dikeluarkan di Riyadh.
Insiden terbaru berlaku dua hari selepas bangunan ibu pejabat Dana Pelaburan Awam (PIF) yang juga pencakar langit tertinggi di negara itu dilaporkan terkena serangan peluru berpandu Houthi.
Kumpulan Houthi turut mengancam untuk menyasarkan beberapa infrastruktur strategik Arab Saudi, termasuk sebuah stesen janakuasa, pelabuhan di Laut Merah seperti Jeddah serta pusat kewangan di Riyadh.
Ancaman itu dibuat selepas pakatan tentera diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yemen mendakwa melancarkan serangan terhadap sasaran Houthi di Pelabuhan Hodeidah dan ibu kota Yemen, Sanaa, pada hari yang sama.
Perkembangan berkenaan menandakan peningkatan ketara dalam konflik yang berlarutan, dengan kedua-dua pihak terus saling melancarkan serangan terhadap sasaran ketenteraan dan infrastruktur penting.
Al Jazeera melaporkan tiada laporan segera mengenai kematian atau kecederaan susulan insiden pelancaran peluru berpandu terbaru itu.