PORT DICKSON: Dendam dipercayai menjadi punca seorang lelaki dibunuh dalam kejadian di sebuah kebun buah naga Site A, Tanah Merah di sini pada Sabtu.

Mayat lelaki berusia 44 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap serta kedua-dua tangan dan kaki diikat dengan tali.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima maklumat kejadian pada jam 2.52 petang daripada bapa mangsa.

"Siasatan di lokasi mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan hanya memakai seluar warna hitam selain tangan serta kaki berikat dengan tali.

"Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa menjumpai sebuah dompet yang mempunyai dokumen pengenalan diri dan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala serta belakang badan," katanya dalam kenyataan kepada media pada Ahad.

Menurutnya, barangan lain milik mangsa iaitu sebuah telefon bimbit dan motosikal jenis SM Sport tidak dijumpai disyaki telah dilarikan oleh suspek.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati, mangsa mewarisi kebun tersebut daripada keluarganya kira-kira lima tahun lalu dan tinggal di situ seorang diri.

"Kali terakhir dia dilihat oleh bapanya yang datang menghantar makanan pada Jumaat jam 6 petang.

"Keluarga mangsa memberitahu mangsa baharu mengambil seorang pekerja warga Myanmar dua minggu lalu namun tidak diketahui butiran peribadinya dan telah menghilangkan diri," katanya.

Bertindak atas maklumat itu, Aidi Sham berkata, sepasukan polis diketuai Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan dibantu Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis DaerahPort Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek iaitu empat lelaki warga Myanmar di Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Tambahnya, polis turut menemui motosikal mangsa yang telah disorokkan di sebuah kebun kelapa sawit Site A, Tanah Merah, Port Dickson.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 19 tahun sehingga 49 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Siasatan awal terhadap suspek yang ditangkap mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh kurang 24 jam," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada Isnin untuk proses permohonan reman. -Sinar Harian