KITA mempunyai AI yang membantu meringkaskan dokumen, melakukan alih bahasa secara masa nyata, menyunting gambar dan menghasilkan karangan dalam masa yang pendek.

Kini, penggunaan AI berkembang pula pada mesin pencetak yang dikeluarkan oleh HP.

Menerusi perisian HP AI Print, proses mencetak akan dipermudahkan dan lebih menjimatkan.

Pertama sekali perisian boleh diarahkan untuk meringkaskan dokumen yang ingin dicetak.

Contohnya anda ingin mencetak resipi makanan dari sebuah laman web, tetapi terdapat gambar, iklan dan video di laman yang tidak diperlukan.

Dengan hanya mengarahkan HP AI Print, hanya teks resipi yang diperlukan sahaja akan dicetak mengurangkan jumlah cetakan daripada empat muka surat ke hanya satu.

Dokumen asal sebelum diringkaskan. - Foto Amanz

Selain itu AI boleh diarahkan mengubah pilihan reka huruf dan saiz reka huruf berbanding yang digunakan pada dokumen asal.

Malahan antara demo menarik yang diperlihatkan ialah tiga gambar anak boleh diubah suai menggunakan AI generatif terus dari dalam HP AI Print untuk menghasilkan poster.

Dokumen selepas diringkaskan. - Foto Amanz

Terus dari dalam aplikasi pengguna juga akan diberikan pilihan untuk menghasilkan baju, cawan kopi dan cenderahati menerusi rakan kongsi HP tanpa perlu mencarinya sendiri.

HP AI Print akan diperkenalkan menjelang penghujung tahun ini dengan ia akan menyokong sebanyak mungkin mesin pencetak HP sedia ada dan bukan sekadar model baharu.

Pada peringkat awal juga ia hanya menyokong arahan dalam Bahasa Inggeris.