NATIONAL
Dera amah: Jiran sering dengar jeritan, diberi amaran jaga hal sendiri

Walaupun sering mendengan suspek menjerit dan memarahi Adelina, Yau (gambar) tidak sangka jirannya itu mendera pembantu rumahnya. - Astro AWANI
Penduduk di Taman Kota Permai di sini mendakwa sering mendengar suara seorang wanita menjerit dan memarahi pembantu rumahnya, yang kini telah meninggal dunia selepas menjadi mangsa dera.
Salah seorang jiran yang tinggal berdekatan rumah suspek berkata, keluarga majikan kepada amah Adelina Lisao, tidak begitu bergaul dengan jiran tetangga.
Dakwa jiran tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai Yau, sejak dia tinggal di kawasan itu lebih lima tahun lalu, dia sering mendengar suspek memarahi pembantu rumahnya tanpa mengira waktu.
Mangsa juga bukanlah pembantu rumah pertama yang menjadi mangsa kemarahan suspek yang berusia 60 tahun itu, dakwa Yau.
Namun, Yau berkata, dia tidak menyangka pembantu rumah warga Indonesia itu menjadi mangsa dera keluarga berkenaan sehingga maut.
"Saya ingat dia (suspek) setakat marah-marah sahaja. Keluarga dia tak bercampur sangat dengan orang. Anak-anak suspek keluar kerja dalam pukul 9 pagi, pukul 10 malam baru pulang.
"Kita sudah biasa dengar suspek marah pembantu rumahnya, tidak kira siang atau malam. Tetapi kita tidak sangka dia pukul pembantunya," katanya.
Tambahnya, jiran pernah bertindak mahu membantu mangsa tetapi suspek sering memberi amaran kepada mereka supaya tidak mencampuri urusan keluarga.
"Dia tidak bagi campur, dekat pintu dia dah halau. Kita pula tiada bukti. Tetapi bila sudah nampak pembantu rumah dia semakin teruk sakit, kita minta NGO datang," kata Yau.

Suspek yang berusia 60 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini untuk mendapat perintah tahanan reman. - BERNAMA
Sabtu lepas, Adelina berjaya diselamatkan polis selepas didakwa didera oleh majikannya, tetapi disahkan meninggal dunia pada keesokan hari ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah.Wanita yang berusia 26 tahun itu ditemukan sedang duduk di kawasan luar pagar rumah majikannya oleh seorang wartawan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah hanya beralaskan tikar dan ditemani anjing.
Susulan itu, polis menahan reman majikannya – seorang wanita dan dua anaknya berusia 36 dan 39 tahun – bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami