KUALA LUMPUR:Seorang pengasuh berusia 61 tahun bakal didakwa di mahkamah selepas dipercayai mendera seorang kanak-kanak berusia lima tahun sehingga mati dalam kejadian di sebuah kondominium di Sentul pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya mendapat arahan dari pejabat pendakwaraya untuk menuduh suspek di mahkamah di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mangsa mengalami kecederaan fizikal.

"Pihak kami pun telah menghantar satu pasukan ke premis itu dan didapati terdapat memang betul ada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun telah tidak sedarkan diri dan pasukan telah melihat terdapat kecederaan terhadap tubuh badan kanak kanak perempuan tadi," kata Saiful Azli dalam satu sidang media di ibu negara, pada Jumaat.

BACA: Kanak-kanak perempuan maut dipercayai didera pengasuh

Sebelum ini, wanita itu bersama dua anaknya berusia 22 dan 34 tahun ditangkap bagi siasatan lanjut.

Bagaimanapun dua anak suspek utama itu dilepaskan dan akan menjadi saksi pihak pendakwaan dalam kes berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan kanak kanak terbabit ditemui dalam keadaan terbaring lengkap berpakaian di atas katil dan sudah tidak bernyawa.

Hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati kesan calar dan lebam pada beberapa bahagian badan dan kaki.