Dewan Perwakilan AS lulus usul wajib dedah fail Epstein

Usul itu diluluskan dengan undian 427-1, dua hari selepas Trump secara mengejut menarik balik penentangannya. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang dikuasai Parti Republikan pada Selasa meluluskan usul untuk memaksa Jabatan Kehakiman mendedahkan fail berkaitan mendiang pesalah seks Jeffrey Epstein.
Ia merupakan sebuah keputusan yang sebelum ini ditentang Presiden Donald Trump selama beberapa bulan.
Usul itu diluluskan dengan undian 427-1, dua hari selepas Trump secara mengejut menarik balik penentangannya.
Keputusan tersebut menghantar resolusi berkenaan ke Senat untuk pertimbangan lanjut.
Pertikaian berhubung pendedahan fail Epstein sejak beberapa bulan lalu dikatakan menjejaskan hubungan Trump dengan sebahagian penyokong kuatnya dalam Parti Republikan.
Sebelum undian berlangsung, lebih 20 orang wanita yang mendakwa pernah menjadi mangsa Epstein hadir bersama beberapa anggota Kongres daripada Parti Demokrat dan Republikan di hadapan Bangunan Capitol, bagi menuntut dokumen itu didedahkan.
Mereka turut memegang gambar semasa remaja, iaitu ketika didakwa mula berjumpa Epstein, seorang ahli kewangan dari New York yang dikenali mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh berpengaruh negara itu.
Skandal Epstein menjadi isu politik berpanjangan buat Trump, sebahagiannya kerana beliau sebelum ini menguatkan teori konspirasi berkaitan Epstein dalam kalangan penyokongnya.
Ramai pengundi Republikan percaya pentadbiran Trump menutup kaitan Epstein dengan tokoh berkuasa serta tidak mendedahkan sepenuhnya butiran kematiannya, yang disahkan sebagai bunuh diri di sebuah penjara Manhattan pada 2019.
Walaupun Trump kini beralih menyokong rang undang-undang itu, beliau dilaporkan masih tidak berpuas hati dengan perhatian media terhadap isu tersebut.
Pada Selasa, beliau menegur seorang wartawan yang bertanya mengenai perkara itu di Oval Office sebagai “orang yang teruk” dan berkata lesen rangkaian televisyen wartawan itu patut digantung.
Trump pernah bergaul dan menghadiri majlis bersama Epstein pada 1990-an dan awal 2000-an sebelum berlaku perselisihan yang digambarkannya sebagai “keretakan hubungan”.
Namun, hubungan lama itu kini menjadi antara kelemahan politik beliau.
Menurut tinjauan Reuters dan Ipsos pada Isnin, hanya 44 peratus penyokong Republikan berpuas hati dengan cara Trump menangani isu Epstein, jauh lebih rendah berbanding 82 peratus yang menyokong prestasinya secara keseluruhan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


