Skip to main content

Malaysia

Dewan Rakyat: Isu projek sakit, hak cipta P. Ramlee antara tumpuan hari ini

Isu pemeliharaan khazanah seni turut dibangkitkan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang meminta Menteri Komunikasi mengemas kini inisiatif kerajaan bagi memperoleh atau membeli semula hak pemilikan, hak cipta serta pengurusan filem-filem Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee agar dapat dipelihara sebagai aset warisan negara.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cadangan mengetatkan kriteria pemilihan serta penilaian prestasi kontraktor bagi membendung isu kelewatan projek kerajaan dan projek sakit menjadi antara topik utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di portal rasmi Parlimen, perkara itu diajukan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) kepada Menteri Kerja Raya bagi mengetahui langkah proaktif menangani kelemahan pengurusan dan kewangan kontraktor, di samping mekanisme baharu yang bakal diperkenalkan.

Turut mencuri tumpuan pada sesi soal jawab lisan ialah soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai perkembangan terkini Rang Undang-Undang (RUU) Penjagaan Ibu Bapa.

Beliau juga meminta penjelasan mengenai bentuk dan mekanisme perlindungan sosial komprehensif yang dijangka diumumkan bagi membela kebajikan warga emas susulan peningkatan demografi negara ke arah status negara penuaan.

Sementara itu, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) meminta Menteri Pendidikan memperincikan kesiapsiagaan kementerian menampung pertambahan kemasukan serentak kanak-kanak berumur enam dan tujuh tahun ke tahun satu bagi sesi persekolahan 2027.

Isu pemeliharaan khazanah seni turut dibangkitkan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang meminta Menteri Komunikasi mengemas kini inisiatif kerajaan bagi memperoleh atau membeli semula hak pemilikan, hak cipta serta pengurusan filem-filem Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee agar dapat dipelihara sebagai aset warisan negara.

Selesai sesi soal jawab lisan, persidangan diteruskan dengan pembentangan usul oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 yang dibentangkan Isnin lepas.

Usul itu antara lain menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan meneliti dapatan serta syor laporan audit secara objektif demi memperkukuh integriti tatakelola dan pengurusan wang awam.

Persidangan hari ini juga dijadual diteruskan dengan bacaan kali kedua RUU Makanan (Pindaan) 2026 oleh Menteri Kesihatan. 

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat yang bermula Isnin lepas dijadualkan berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement