KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan pemetaan keperluan bilik darjah berdasarkan sasaran serta jumlah pendaftaran sebenar murid bagi menghadapi kemasukan awal kanak-kanak ke tahun satu pada usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata beberapa pendekatan sedang dilaksanakan bagi memastikan kemudahan bilik darjah mencukupi menjelang sesi persekolahan Januari depan, termasuk pembinaan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“… pembinaan secara IBS. Ada yang sudah siap, ada yang belum siap tetapi sedang dilaksanakan. Kita akan pastikan supaya ia sempat siap untuk kegunaan pada sesi persekolahan pada Januari,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) yang bertanyakan pelaksanaan pemetaan keperluan bilik darjah, guru dan kemudahan asas di seluruh negara serta kesediaan KPM membentangkan unjuran pertambahan murid dan keperluan infrastruktur mengikut negeri.
Wong berkata selain pembinaan bilik darjah baharu, KPM turut mengambil pendekatan mengoptimumkan penggunaan ruang sedia ada di sekolah bagi menampung keperluan murid.
“Kita tukar fungsi bilik-bilik yang sedia ada melalui inisiatif ubah suai naik taraf. Katakan ada bilik-bilik kosong yang sebelum ini tidak digunakan, maka kita buat ubah suai naik taraf, kita tukar fungsi untuk menjadikan ia sebagai bilik darjah bagi menampung keperluan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai status pembinaan asrama baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran serta perkembangan projek SMK Gum-Gum 2 di Sandakan, Wong berkata projek pembinaan sekolah baharu itu mengalami kelewatan sebanyak 6.59 peratus atau 51 hari.
Beliau berkata kemajuan fizikal projek SMK Gum-Gum 2 setakat hari ini adalah 5.67 peratus berbanding sasaran 12.26 peratus mengikut jadual kontrak, namun KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah akan terus memantau pelaksanaannya bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut perancangan.
Katanya, projek bernilai RM61.923 juta yang diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu merangkumi pembinaan 18 bilik darjah serta kemudahan sekolah lain, dengan kerja pembinaan bermula pada 30 Jun 2025 dan dijadual siap pada 31 Julai 2028.
Wong berkata pelaksanaan projek berkenaan pada peringkat awal berdepan bantahan masyarakat setempat terhadap tapak asal sehingga memerlukan pemindahan ke tapak baharu dan penyelesaian beberapa urusan teknikal sebelum Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah selaku agensi pelaksana melantik kontraktor.
Mengenai pembinaan asrama baharu SMK Libaran pula, beliau berkata projek yang diluluskan di bawah RP1 RMK12 pada 2021 dengan kos RM18.525 juta itu melibatkan pembinaan asrama untuk menempatkan masing-masing 100 pelajar lelaki dan perempuan, dewan makan, rumah warden serta kemudahan sokongan berkaitan.
Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaannya berdepan isu pertindihan tapak selepas Jabatan Tanah dan Ukur Sabah pada Ogos 2021 mendapati tanah yang dipohon KPM turut dimohon Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN Sabah), susulan permohonan kebenaran masuk tapak oleh JPN Sabah pada 22 Feb tahun sama.
Menjawab soalan tambahan Suhaimi yang menyuarakan kekecewaan terhadap kelewatan projek asrama SMK Libaran serta kebimbangan mengenai peningkatan kos pembinaan, Wong berkata kementerian telah menambah baik prosedur pembangunan sekolah baharu.
Beliau berkata walaupun kelewatan pelaksanaan projek sehingga lima atau 10 tahun boleh menyebabkan perubahan kos dan memerlukan permohonan dikemukakan semula dalam RP baharu, namun pendekatan Kerajaan MADANI ketika ini adalah untuk menyelesaikan isu tapak terlebih dahulu.
Menerusi pendekatan itu, katanya, anggaran perbelanjaan bagi perolehan tanah akan dimasukkan dalam RP pada tahun berkenaan, manakala permohonan pembinaan sekolah baharu dikemukakan pada tahun berikutnya selepas urusan perolehan tanah berjaya diselesaikan.
Beliau berkata penambahbaikan prosedur itu bertujuan mengurangkan masalah yang dihadapi sebelum ini, meskipun tidak semua isu dapat diselesaikan sepenuhnya, selain memastikan projek pembangunan sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
– BERNAMA