MALAYSIA
Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata pindaan tersebut juga bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kelancaran tindakan agensi penguatkuasaan yang berkaitan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2025 bagi memperkasakan penguatkuasaan terhadap aktiviti haram melibatkan penyalahgunaan racun dan bahan psikotropik.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata pindaan tersebut juga bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kelancaran tindakan agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
"Pindaan ini penting bagi menyelaraskan undang-undang negara dengan konvensyen antarabangsa seperti Konvensyen Tunggal 1961 bagi Dadah Narkotik serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Perdagangan Haram Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1988.Antara perkara yang diberi perhatian dalam pindaan tersebut ialah pemerkasaan kuasa pegawai diberi kuasa, latihan dan pemantauan serta penyelarasan kawalan terhadap senarai racun dan bahan terlarang termasuk bahan dalam produk vape.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata pindaan tersebut tidak menimbulkan isu pertindihan kuasa antara agensi seperti polis, pegawai penguat kuasa dadah dan kastam memandangkan setiap agensi beroperasi berdasarkan skop serta bidang kuasa masing-masing.
"Penguat kuasa dadah fokus kepada pengendalian racun dan bahan psikotropik berkaitan ubat dan kimia industri... polis pula memantau aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang manakala kastam mengawal keluar masuk bahan ini di pintu masuk negara," katanya.
RUU itu antara lain meminda Seksyen 2 Akta Racun 1952 (Akta 366) dalam takrif authorised officer untuk memasukkan pegawai polis daripada apa-apa pangkat dan orang yang dilantik oleh Menteri Kesihatan di bawah Seksyen 31A sebagai pegawai diberi kuasa.
Ia bertujuan untuk meluaskan skop takrif premises termasuklah mana-mana tanah, bangunan atau bahagian mana-mana bangunan, apa-apa pepasangan di atas tanah, luar pesisir atau pepasangan lain sama ada di atas dasar, terapung di atas air dan mana-mana struktur boleh alih atau tidak.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025 bagi mengesahkan kutipan fi perkhidmatan feri di Terminal Feri Pengkalan Kubor, Kelantan yang telah dikutip bermula 1 Jan 1999 hingga 31 Dis 2024 namun tidak diwartakan di bawah Akta Fi 1951.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami