MALAYSIA
Dewan Rakyat lulus usul Laporan Ketua Audit Negara 2/2025

Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 32 Ahli Parlimen. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun/Syarikat Kerajaan Persekutuan yang mengandungi perkara dibangkitkan hasil pengauditan terhadap lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian.
Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 32 Ahli Parlimen.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran ketika menggulung perbahasan usul itu bagi JPM menjelaskan bahawa pelantikan Ketua Audit Negara boleh dibuat dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
"Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Fasal 1 Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja."Merujuk Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama subperenggan 1(1) Jadual Pertama kepada Akta Audit 1957 (Akta 62) Ketua Audit Negara boleh dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam dan pelantikan itu adalah sah," katanya.
Kulasegaran menjawab perbahasan usul LKAN 2/2025 oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mempertikaikan pelantikan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ketua Audit Negara ketika beliau masih dalam perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya berkata pelbagai usaha penambahbaikan terus dilaksanakan susulan siasatan LKAN berkaitan pengurusan perolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau berkata beberapa langkah telah diambil sejak 28 Feb lepas bagi memastikan ia selari dengan hala tuju pendidikan tinggi 2025 antaranya mendorong Jawatankuasa Audit Dalaman untuk melaksanakan tindakan susulan selepas mendapati beberapa pekeliling yang digunakan sebelum ini tidak dikemas kini.
"Sebagai contoh, sebelum ini UKM masih merujuk kepada Pekeliling Perolehan Perbendaharaan 2.0, sedangkan ia telah dikemas kini kepada versi 2.2. Jawatankuasa Pratender dan Jawatankuasa Penyelarasan juga telah dibubarkan, sekali gus menamatkan fungsi jawatankuasa tersebut," katanya.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang ketika menggulung perbahasan bagi kementerian berkenaan berkata pihaknya mengambil maklum teguran yang dikemukakan LKAN 2/2025 berhubung prestasi ladang sawit oleh FELCRA Berhad.
Beliau menjelaskan bahawa hasil ladang hanya akan dapat dilihat secara berfasa iaitu tiga daripada empat ladang telah menunjukkan peningkatan hasil dan keuntungan seperti di Ladang Estet Telupid, Sabah serta Estet Sungai Rawit 2 dan Estet Aring di Kelantan.
"Bagaimanapun, pencapaian semasa untuk satu lagi ladang iaitu Estet Dabong, sememangnya belum mencapai tahap yang disasarkan namun perlu difahami bahawa prestasi tersebut turut dipengaruhi oleh faktor luar jangka seperti kekurangan tenaga kerja ladang mahir serta keadaan cuaca ekstrem yang menjejaskan operasi penuaian.
"Dalam masa yang sama, FELCRA telah mengambil langkah proaktif termasuk menambah bilangan penuai serta melaksanakan kerja pembaikan jalan pertanian secara berperingkat. Usaha pemulihan ini dijangka mula menampakkan hasil yang lebih positif," katanya.
Ketika sesi penggulungan bagi Kementerian Kerja Raya, menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan proses pemilihan kontraktor bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dilaksanakan secara tender terbuka prakelayakan terpilih.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan hanya syarikat yang benar-benar berkeupayaan dari segi teknikal, kewangan dan pengalaman dapat melaksanakan projek berskala besar dan berimpak tinggi itu.
Nanta turut mengakui terdapat cabaran lain seperti kelewatan proses pengambilan tanah, pengalihan utiliti serta kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan yang menyebabkan kelewatan projek, namun pihak kementerian telah mengambil langkah penambahbaikan menerusi libat urus bersama agensi berkaitan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika sesi penggulungan perbahasan usul bagi kementerian berkenaan berkata pihaknya akan mengambil perhatian terhadap segala pandangan dan teguran termasuk aspek pengurusan perolehan projek. Persidangan bersambung esok.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami