Kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kini menjadi 82 kerusi setelah Dewan Rakyat meluluskan Usul Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak 2015.

Hasil dari undian menerusi belah bahagian, 130 Ahli Parlimen menyokong manakala 72 menentang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan usul itu pada sebelah pagi berkata kajian semula persempadanan itu adalah demi meningkatkan taraf hidup ekonomi serta merancakkan pembangunan di Sarawak.

"Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan pindaan undang-undang ke atas Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak berhubung komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi yang berkuat kuasa pada 5 Disember lalu.

Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.
"Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi negeri Sarawak," katanya.

Katanya berikutan tempoh lapan tahun bagi Sarawak telah mencukupi, maka urusan persempadanan itu adalah tertakluk kepada peruntukan Fasal (3B) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Najib berkata SPR telah pun menyiapkan laporan kajian semula itu dan syor-syor yang dicadangkan untuk Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak kali keenam Tahun 2015.

"Laporan kajian itu telah diserahkan kepada saya pada 21 Ogos 2015," katanya.

Katanya urusan kajian semula persempadanan kali ini telah dilaksanakan dengan mengguna pakai daftar pemilih yang diwartakan pada 30 April 2014, di mana jumlah pemilih berdaftar bagi Sarawak adalah seramai 1,109,134 orang.

"Kajian Semula Persempadanan yang terakhir telah dilaksanakan pada 2005 dengan mengguna pakai daftar pemilih seramai 905,722 orang yang telah diwartakan pada 4 November 2004. Ini bermakna, bilangan pemilih berdaftar bagi negeri Sarawak telah meningkat sebanyak 18 peratus atau seramai 203,412 orang," katanya.

Daerah mengundi

Perdana Menteri berkata dalam melaksanakan urusan kajian semula itu, SPR juga menyemak dan mengemas kini daerah mengundi sedia ada di Sarawak serta mencadangkan pewujudan beberapa daerah mengundi baharu, kerana terdapat pertambahan bilangan pemilih berdaftar yang baharu dan keperluan untuk mewujudkan pusat mengundi baharu.

"Notis syor persempadanan yang dicadangkan bagi negeri Sarawak telah diwartakan kali pertama pada 2 Januari 2015. Syor-syor dan Rang Pelan Persempadanan tersebut telah dipamerkan di tempat-tempat yang dinyatakan dalam Notis Persempadanan serta disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan," katanya.

Sebagai langkah proaktif, Najib berkata notis, syor dan rang pelan tersebut juga telah dimuat naik ke laman web rasmi SPR bagi memudahkan maklumat tersebut diperolehi atau diakses oleh orang ramai.

Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dibentangkan hari ini mencadangkan tambahan 11 bahagian bagi negeri.

Sementara Bahagian Pilihan Raya Persekutuan pula, tiada perubahan bilangan tetapi terdapat perubahan sempadan ke atasnya.

November tahun lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan usul penambahan 11 kerusi DUN daripada 71 sekarang kepada 82 keseluruhan.

Usul diluluskan majoriti ahli dewan selepas sesi perbahasan membabitkan lapan ADUN Barisan Nasional (BN) dan tujuh pembangkang.