GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengeluarkan 597 notis terhadap individu atas kesalahan merokok di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town di sini, menerusi 114 operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2022 hingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, kawasan tapak warisan dunia itu telah diwartakan sebagai zon larangan merokok sejak 2015 dan kini turut tertakluk di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Sepanjang tahun lepas, 106 notis telah dikeluarkan dan jumlah tersebut menunjukkan peningkatan pada tahun ini apabila 127 notis telah dikeluarkan setakat ini, melepasi keseluruhan notis yang direkodkan tahun sebelumnya.
“Sehubungan itu, kita akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bahan Promosi Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) di Tapak Warisan Dunia George Town, di sini, pada Jumaat.
Gooi berkata, peningkatan jumlah notis yang dikeluarkan menunjukkan masih terdapat individu yang gagal mematuhi larangan merokok di kawasan berkenaan meskipun pelbagai usaha pendidikan dan advokasi telah dilaksanakan secara berterusan.
Beliau memaklumkan, di bawah Akta 852, individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di kawasan zon larangan merokok boleh dikenakan kompaun serta-merta RM250 bagi setiap kesalahan.
“Kita memahami bahawa selain pendidikan awam yang dilaksanakan secara berterusan, tindakan penguatkuasaan juga perlu diambil bagi memastikan pematuhan terhadap kawasan zon larangan merokok di Tapak Warisan Dunia George Town,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama JKNPP turut mempergiat usaha pendidikan awam menerusi penambahan bahan promosi dan papan peringatan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa kawasan berkenaan merupakan zon larangan merokok.
Gooi berkata, selain Tapak Warisan George Town, beberapa lokasi lain di Pulau Pinang turut diwartakan sebagai zon larangan merokok di bawah Akta 852 iaitu Taman Perbandaran Jalan Utama, Taman Botani Jalan Air Terjun, Empangan Air Hitam Empangan serta Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau, manakala Seberang Perai meliputi kawasan Empangan Mengkuang di Berapit dan Taman Bandar Ampang Jajar.
Terdahulu, beliau bersama 70 anggota Bahagian Penguatkuasaan JKNPP mengedar risalah kempen kepada premis di sekitar selain memasang sepanduk dan payung teduh khas untuk beca bagi menyemarak lagi kesedaran awam, khususnya pelancong mengenai larangan merokok di semua bangunan serta kawasan awam dalam zon tapak warisan berkenaan.
-- BERNAMA