KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan agar mewujudkan kaedah pelepasan bersyarat yang lebih fleksibel untuk seseorang boleh dilepaskan daripada status kebankrapan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan syarat-syarat dan perjanjian tertentu agar lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama.

"Walaupun secara dasarnya pindaan terhadap Seksyen 33B(2A) Akta 360 (Akta Insolvensi 1967) menambah dua kategori pelepasan bankrap baharu tanpa bantahan pemiutang, namun penekanan khusus juga harus diberi oleh kerajaan terhadap usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi.

"Ini penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata antara langkah yang boleh dilakukan ialah mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia yang bekerja di luar negara, yang mungkin mengambil masa lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan daripada Jabatan Imigresen.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, kebankrapan juga disifatkan sebagai satu bentuk hukuman dan bukan satu skim pembayaran semula.

"Maka sekiranya si bankrap telah menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu yang sesuai dengan berkelakuan baik, seharusnya pelepasannya daripada status kebankrapan disegerakan dan dipermudahkan, tanpa melihat pada nilai atau jumlah hutang am yang difailkan," katanya.

Dalam masa sama, Muhyiddin turut membangkitkan persoalan sejauh mana keberkesanan kawal selia penyedia dan perkhidmatan kredit bukan bank seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) bagi melindungi pengguna, khususnya dalam kalangan belia agar mereka tidak terjerat dengan hutang.

"Ini memandangkan Akta Kredit Pengguna masih belum dibentang pada ketika ini.

"Ini kerana perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya berkait dengan platform e-dagang mengenakan kadar caj yang tinggi, jika terlewat bayar ansuran bulanan.

"Malah, kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit.

"Jika dilihat dari sudut makro, BNPL boleh memberi kesan kepada kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi iaitu 89 peratus berbanding 2021," kata beliau.

Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, Muhyiddin berkata faktor terbesar kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 iaitu mewakili 42.24 peratus daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan.

Selain itu, pinjaman sewa beli kenderaan menyum​bang 7,072 kes iaitu 14.39 peratus, tambah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Justeru, beliau berpandangan kerajaan wajar meneliti cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai had tempoh bayaran pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan supaya ia dapat dipanjangkan dari 10 tahun kepada 20 tahun, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.