KUALA LUMPUR:Kementerian Pendidikan akan tetap meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) seperti yang diputuskan oleh Jemaah Menteri pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2019 dan kementeriannya akur kepada arahan itu.

Elemen pengukuhan tulisan jawi dalam kalangan murid itu katanya, dilaksanakan melalui aktiviti pengayaan seperti membina modul pemulihan tulisan jawi dengan lebih mudah dan menarik untuk murid yang kurang menguasai tulisan jawi.

"Untuk maklumat seperti yang dimomokkan, kita bukan mengajar pelajar-pelajar kita menulis, bukan mengajar membaca berkaitan tulisan jawi.

"Sebaliknya, kita hanya dalam proses pengecaman, contohnya dalam duit kertas kita, ada tulisan jawi di belakang yang ada ditulis Bank Negara Malaysia dan Ringgit Malaysia," katanya  pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) yang bertanya sama ada kerajaan akan meneruskan pembelajaran tulisan jawi di SJK dan SK atau sebaliknya.

Menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Sabri berhubung kesinambungan tulisan jawi yang ditiadakan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan kursus-kursus berkaitan tulisan jawi disediakan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi,  Muslimin berkata, kemahiran membaca dan menulis jawi masih lagi diuji dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) menerusi mata pelajaran Pendidikan Islam.

Selain mata pelajaran Pendidikan Islam, katanya, mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah menggunakan tulisan jawi sepenuhnya, termasuk dalam soalan peperiksaan.

"Ada sekolah yang melaksanakan kem pemulihan jawi bagi murid sekolah menengah. Selain itu, terdapat juga sekolah yang menganjurkan aktiviti kokurikulum bagi menanam minat murid dalam jawi.

"Justeru Kementerian Pendidikan  yakin bahawa pendekatan yang digunakan setakat ini mampu mengekalkan kesinambungan tulisan jawi pada peringkat sekolah menengah," jelasnya lagi.