KUALA LUMPUR: Sebanyak enam projek sakit di bawah kendalian Kementerian Kerja Raya (KKR) kini dalam tindakan penamatan kontrak selepas usaha pemulihan yang dilaksanakan gagal mengembalikan prestasi projek.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tindakan tegas itu menunjukkan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kegagalan kontraktor melaksanakan tanggungjawab mereka sekiranya segala obligasi kerajaan telah dipenuhi, namun usaha pemulihan masih gagal membuahkan hasil.
Beliau berkata projek yang dikategorikan sebagai berstatus sakit ialah projek yang mengalami kelewatan melebihi 60 hari atau 20 peratus berbanding jadual asal yang ditetapkan dalam kontrak, mengikut mana-mana yang terdahulu.
“Projek yang berstatus ini akan dipantau secara serius oleh pegawai penguasa dan kementerian supaya kontraktor dapat kembali berupaya melaksanakan projek mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
“Sekiranya prestasi kontraktor masih kekal tidak berubah malah semakin merosot, tindakan penamatan kontrak akan dilaksanakan demi menjaga kepentingan kerajaan serta memastikan projek dapat disiapkan untuk manfaat rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Nanta menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang ingin tahu jumlah dan nilai projek yang dikategorikan sebagai projek sakit, termasuk tindakan kerajaan terhadap kontraktor yang terlibat.
Bagi mempercepat usaha pemulihan projek sakit, beliau berkata KKR melaksanakan pemantauan rapi menerusi Jawatankuasa Project Solving Governance (PSG) untuk mengenal pasti isu serta menetapkan langkah pemulihan yang bersesuaian.
“Jawatankuasa itu memastikan segala obligasi kerajaan dipenuhi sebelum sesuatu projek dirujuk kepada Jawatankuasa Contract Coordination Panel (CCP) bagi menangani isu seperti pelanjutan masa, arahan perubahan kerja dan perkara berkaitan,” katanya.
Nanta berkata setakat 31 Okt lepas, sebanyak 38 daripada 880 projek yang berada dalam peringkat pembinaan di seluruh negara direkodkan sebagai projek sakit, melibatkan nilai semasa RM2.08 bilion.
Beliau berkata jumlah itu mewakili 4.32 peratus daripada keseluruhan projek dalam pembinaan, yang meningkat sedikit berbanding 33 projek atau 3.77 peratus pada September.
Bagaimanapun, angka berkenaan lebih rendah berbanding kadar tertinggi yang direkodkan pada Julai tahun ini, iaitu 55 projek atau 6.51 peratus.
“KKR akan terus mempergiat pemantauan dan pelaksanaan langkah intervensi terhadap projek yang mengalami kelewatan, termasuk penyediaan pelan pemulihan, pemantauan kemajuan fizikal secara berkala serta penyelarasan penyelesaian isu pelaksanaan bersama projek berkaitan,” katanya.
-- BERNAMA