KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang merangka tujuh inisiatif baharu bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, ia termasuk menyediakan platform e-dagang kepada usahawan veteran, smart card ATM, kempen Tabung Pahlawan dan penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada anggota ATM yang berkhidmat sewaktu zaman darurat 1969.

"Selain itu Kementerian Pertahanan juga sedang meneliti untuk memberi elaun kewangan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia dan saguhati kepada 404 veteran yang mengelar diri mereka sebagai The Last Mohican.

"Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) telah memohon penilaian semula ke atas kes anomali  yang memberi kesan kepada 404 veteran ATM. Kerajaan dalam pertimbangan untuk memberi saguhati dalam menunjukkan prihatin kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai usaha kerajaan dalam membantu veteran ATM di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu menjawab soalan asal mengenai perancangan Kementerian Pertahanan dalam menjaga kebajikan khususnya dalam pemilikan perumahan mampu milik, Ikmal Hisham memberitahu, pada tahun ini, Kementerian Pertahanan memperuntukkan sejumlah RM2.6 juta dengan sasaran pembinaan sebanyak 28 buah rumah baharu dan baik pulih 72 buah rumah diseluruh negara dengan jumlah pembahagian sama rata setiap negeri.

Pada masa yang sama katanya, sejumlah RM35.7 juta disediakan bagi skim bantuan yang sehingga memanfaatkan 12,377 orang veteran ATM, balu dan tanggungan telahpun menerima manfaat dari skim bantuan ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM25.8 juta.

"Sukacita saya memaklumkan bahawa Program SASaR  di Sungai Besi sudahpun bermula pada 1 Jun lalu dan dijangka siap pada tahun 2024  dengan  anggaran nilai  harga rumah antara RM150,000 hingga RM250,000.

"Sebanyak 3,500 unit rumah akan dibina di bawah program ini, dan dari jumlah berkenaan sebanyak 900 unit rumah, iaitu 30 peratus  unit rumah) telah diperuntukkan untuk Veteran ATM.

"Sehingga kini, jumlah permohonan yang telah diterima daripada Veteran ATM adalah sebanyak 511 permohonan dan tiada sebarang permohonan yang ditolak," katanya lagi.