SUNGAI PETANI: Ditinggalkan ibu bapa kandung hanya beberapa hari selepas dilahirkan dan dibesarkan nenek yang kini berusia 82 tahun, perjalanan hidup K. Hemarruben, 29, bukanlah mudah.
Dilahirkan dengan keterbatasan penglihatan pada sebelah mata, lelaki dari Sungai Petani, Kedah itu kehilangan penglihatan sepenuhnya pada 2019 ketika berusia 21 tahun, selepas mengalami tekanan pada mata terlalu tinggi sehingga menjejaskan saraf penglihatannya.
"Sebelum ini, saya masih boleh melihat menggunakan sebelah mata, tetapi pada pagi 1 Mac 2019, saya bangun tidur dan mendapati penglihatan saya hilang sepenuhnya. Tekanan mata terlalu tinggi sehingga menyebabkan saraf mata terjejas," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Sebelum kehilangan penglihatan, Hemarruben pernah mengikuti latihan kemahiran membuat biskut dan kek di St Nicholas Home, Pulau Pinang sebelum bekerja dalam industri perhotelan.
Namun, ujian hidupnya tidak terhenti apabila dia kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19 pada 2020.
Baginya, kehilangan pekerjaan bukan alasan untuk terus berputus asa, sebaliknya menjadi titik tolak untuk membina punca pendapatan sendiri, apatah lagi memikirkan tanggungjawab terhadap nenek yang selama ini membesarkannya dan kini semakin dimamah usia.
"Ketika itu, saya tertanya-tanya bagaimana hendak meneruskan kehidupan dan apa yang boleh dilakukan selepas kehilangan pekerjaan.
"Saya kemudian teringat kemahiran membuat biskut dan kek yang pernah dipelajari, lalu mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Berbekalkan kemahiran itu, dia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada 2020 dengan menghasilkan hanya tiga jenis biskut.
Tanpa peralatan lengkap dan akaun media sosial sendiri, Hemarruben terpaksa bermula dari bawah dengan meminjam peralatan daripada rakan sebelum membeli keperluan membuat biskut secara berperingkat.
"Semuanya bermula dari kosong. Pada mulanya, saya hanya tahu membuat biskut tetapi tidak mempunyai peralatan.
"Rakan membantu meminjamkan peralatan sebelum saya membeli barang keperluan sedikit demi sedikit. Untuk promosi pula, saya menggunakan akaun media sosial rakan," katanya.
Hasil kesungguhan itu, perniagaan Ruben Delights kini menawarkan kira-kira 34 jenis biskut, termasuk resipi ciptaannya sendiri.
Antara produk istimewa ialah Green Pea Cookies, selain pelbagai pilihan biskut 100 peratus vegetarian yang boleh dinikmati masyarakat berbilang kaum.
Bagaimanapun, mengusahakan perniagaan tanpa penglihatan bukanlah mudah, terutama ketika memastikan biskut yang dibakar mencapai tahap kematangan sempurna.
Hemarruben berkata, dia menggunakan deria bau dan tempoh masa membakar sebagai panduan kerana tidak dapat melihat perubahan warna biskut.
"Cabaran paling besar ialah untuk mengetahui sama ada biskut sudah masak atau belum. Saya tidak dapat melihat warnanya, jadi saya menggunakan deria bau dan masa membakar sebagai panduan.
"Nenek pula membantu memeriksa warna biskut bagi memastikan hasilnya menepati kualiti yang diinginkan," katanya.
Selain menerima tempahan sempena Deepavali, Ruben Delights turut menyediakan biskut bagi sambutan Krismas dan Tahun Baharu Cina, selain menawarkan kek, manisan tradisional India termasuk ladoo serta aneka pastri.
Keuntungan perniagaan pula disimpan dan digunakan semula sebagai modal bagi menampung keperluan operasi.
"Harapan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Saya mahu biskut yang dihasilkan menggembirakan semua orang ketika menyambut perayaan bersama keluarga.
"Saya juga mahu membuktikan yang golongan OKU mampu melakukan pelbagai perkara dan keterbatasan fizikal bukan alasan untuk tidak berjaya," katanya.
Bagi Hemrruben, cahaya sebenar bukanlah sesuatu yang perlu dilihat dengan mata, sebaliknya terletak pada kekuatan hati dan kesungguhan untuk terus berusaha.
Bagi mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Hemarruben menerusi media sosial Ruben Delights.