KEPALA BATAS: Walaupun makanan atau snek popular berasal dari luar negara seperti takoyaki dan oden semakin menarik perhatian masyarakat terutama golongan muda, kuih tradisional seperti limas dan lempeng pisang kelapa tetap mempunyai peminat tersendiri.

Itu yang dibuktikan Nani Azman, 32, yang menjual kuih tradisional berasal dari Perak di Bazar Ramadan Kepala Batas di sini.

Ujarnya, kuih limas adalah makanan tradisi yang popular di Perak dan mempunyai rasa yang lemak dan manis dan kekal sejak zaman berzaman.

"Sekali pandang kuih limas mirip kuih kuih pelita kerana dibalut dengan daun pisang tetapi kuih tersebut hanya menggunakan tepung gandum berbanding kuih pelita yang menggunakan tepung beras.

Kuih limas hanya menggunakan tepung gandum berbanding kuih pelita yang menggunakan tepung beras.

"Walaupun masyarakat masa kini dihidangkan dengan pelbagai makanan moden, yang 'viral', terutama yang unik dan sedap berasal dari luar negara, tetapi saya memilih untuk menjual kuih tradisional di bazar ramadan.

"Apa yang jelas, makanan tradisi masih ada peminat dan ramai yang beli untuk dijadikan juadah berbuka puasa," katanya.

Katanya, biasanya kuih limas menggunakan daun pisang awak atau abu sebagai pembalut dan setiap set kuih tersebut dijual dengan harga RM5.

Nani (kanan) menjual kuih tradisional di Bazar Ramadan Kepala Batas.

Selain kuih limas, lempeng pisang kelapa atau turut dikenali sebagai tempe kelapa di kawasan utara, masih mendapat sambutan pelanggan yang mahu menikmati juadah tradisional ketika berbuka puasa.

Menurut Nani, selain berniaga di bazar ramadan, dia sedia menerima tempahan kuih limas atau lempeng pisang dari sesiapa saja yang berminat.