Kanak-kanak seawal usia lima tahun di negara ini perlu diberi pendedahan dan pendidikan mengenai bahaya ancaman jenayah seksual oleh pelaku pedofil.

Pensyarah Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal berpendapat kekurangan pengetahuan mengenai gangguan seksual terhadap kanak-kanak menyebabkan kebanyakan kes seumpama itu tidak dilaporkan.

Merujuk kes pedofil warga Britain Richard Huckle yang didakwa mencabul hingga 200 kanak-kanak dari tahun 2006 hingga 2014, Noor Aziah percaya perkara itu boleh dibendung sekiranya kanak-kanak diajar dengan kemahiran melindungi diri dan cara bertindak untuk mencegah perkara itu.

"Ramai yang beranggapan agak janggal untuk berkongsi pengetahuan seksual dengan kanak-kanak di antara usia lima hingga 12 tahun namun dalam keadaan kini, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memainkan peranan dengan menekankan kepada kanak-kanak mengenai ancaman seksual seperti kewujudan pedofil.

"Sebagai contoh, kanak-kanak perlu diajar membezakan cara sentuhan, sama ada sentuhan itu bersifat biasa atau perlakuan tidak senonoh bagi memastikan pengetahuan mereka mengenai gangguan seksual lebih jelas," katanya kepada Bernama di sini.

Ditanya tentang tindakan Huckle yang berselindung di sebalik kerja kesukarelawan untuk mendekati kanak-kanak yang kurang bernasib baik di negara ini, Noor Aziah berkata badan kebajikan di negara ini perlu mula bersifat selektif dalam menerima bantuan kesukarelawan.

Noor Aziah, yang juga anggota Majlis Penyelaras bagi Perlindungan Kanak-kanak Malaysia, berkata badan kebajikan juga perlu menyelidik profil, mengawasi interaksi antara kanak-kanak dan orang dewasa serta sensitif terhadap perilaku mereka.

"Dalam mengalu-alukan bantuan dan sukarelawan, kita juga perlu pantau dan sentiasa mengambil kira ciri-ciri pelaku pedofil yang mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak.

"Walaupun cara ini akan menyukarkan pihak lain untuk membuat kerja amal, namun ia mungkin membantu mengurangkan risiko kanak-kanak daripada diserang dan dianiayai oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga berharap dengan pelaksanaan Rang Undang-undang Kanak-kanak (Pindaan) 2015 akan datang, pangkalan data mengenai maklumat pesalah yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dapat diwujudkan bagi mengelak kejadian seperti ini daripada berulang.

Media Britain melaporkan bahawa Huckle, 30, seorang jurugambar bebas, melawat Malaysia untuk program penempatan mengajar semasa dia berusia 18 atau 19 tahun sebelum dia melatih kanak-kanak untuk seks ketika melakukan kerja sukarela di Kuala Lumpur.

Huckle, dilaporkan mengajar kanak-kanak di sebuah gereja di sini dan turut menghadiri khutbah di gereja tersebut selama enam tahun ketika menjelajah negara Asia Tenggara.

BBC melaporkan bahawa prosiding untuk jatuh hukum terhadap Huckle bermula di London pada Rabu dan dijangka selesai Jumaat.

Sebanyak 91 tuduhan dikenakan terhadapnya mengaitkan kepada 23 kanak-kanak kebanyakannya daripada golongan miskin di Kuala Lumpur, dan dia telah mengaku terhadap 71 tuduhan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Majlis Gereja Malaysia Dr Hermen Shastri menasihati pihak gereja di negara ini berhati-hati dalam mengambil sukaralewan dengan memastikan mereka bukan sahaja mempunyai kelayakan mencukupi, tetapi memiliki kelakuan dan peribadi baik untuk mengajar kanak-kanak.

-- LAGI

PEDOFIL-PENDIDIKAN 4 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Beliau berpendapat pihak gereja harus memperketatkan peraturan dan
memastikan mana-mana sukarelawan mahupun kakitangan gereja mematuhi
undang-undang berkaitan tatakelakuan yang terkandung dalam Akta Perlindungan
Kanak-kanak.
Katanya jika terdapat sebarang aduan daripada ibu bapa atau kanak-kanak itu
sendiri, tindakan harus diambil segera supaya sebarang aktiviti seperti kes
pedofil dapat dikenal pasti.
Hermen ketika ditanya sama ada pihak gereja mempunyai peraturan dalam
mengendalikan sukarelawan, berkata lazimnya mereka yang ingin bekerja atau
menjadi sukarelawan akan menghadiri sesi temuduga.
"Pihak gereja juga harus memberi jaminan kepada ibu bapa yang anak-anak
mereka dilindungi dan dijaga dengan baik ketika di gereja," katanya.