KUALA LUMPUR: Pendidikan berteraskan nilai dan agama perlu berjalan seiring dengan sokongan psikososial bagi memastikan kesejahteraan mental kanak-kanak terus terpelihara.
Pakar psikologi kanak-kanak merangkap Naib Canselor SEGi University, Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, didikan agama berperanan membentuk disiplin diri dan menjadi panduan kepada kanak-kanak dalam menghadapi cabaran kehidupan, manakala sokongan emosi daripada keluarga serta intervensi di sekolah penting bagi membantu mereka mengurus tekanan.
Menurut beliau, tekanan akademik dan tuntutan tinggi daripada ibu bapa serta guru boleh memberi kesan kepada kesejahteraan emosi kanak-kanak, khususnya apabila mereka tidak diberikan ruang mencukupi untuk berehat, bermain dan bersosial.
"Kita perlu ingat, dunia kanak-kanak ialah bermain. Dalam masa yang sama, walaupun mereka perlu melalui proses pembelajaran di taska, tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah, kita perlu tahu bahawa mereka memerlukan masa untuk berehat.
"Jika mereka tidak diberi kelonggaran untuk berehat dan bersosialisasi, pastinya ini akan mendatangkan tekanan," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mariani berkata, penerapan nilai agama dan kerohanian dapat membantu kanak-kanak membina disiplin serta kemahiran menghadapi cabaran, selain menggalakkan mereka mendapatkan bimbingan daripada ibu bapa dan guru apabila berdepan masalah.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa tekanan emosi yang berpanjangan tanpa sokongan sosial dan psikologi boleh menjejaskan kesihatan mental, termasuk menyebabkan kemurungan.
Justeru, katanya, keseimbangan antara pembelajaran, riadah, rehat dan amalan agama perlu diterapkan secara konsisten di rumah serta sekolah.
"Intervensi psikososial perlu berlaku di sekolah kerana ada kaunselor. Tetapi kalau di rumah, ibu dan bapa perlu memahami apa yang telah berlaku kepada anak-anak itu dan apa strategi yang perlu dibuat untuk memastikan keadaan minda, fizikal ataupun emosinya pulih," katanya.
Dalam pada itu, Mariani turut menggesa reformasi sistem pendidikan negara supaya aspek kesihatan mental dan sokongan psikososial diberikan perhatian lebih serius.
Beliau berpandangan, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah perlu diperkukuh, termasuk memastikan nisbah guru kaunseling bersesuaian dengan bilangan murid serta pelaksanaan intervensi secara berterusan.
Katanya, sesi kaunseling tidak seharusnya bersifat sekali sahaja, sebaliknya perlu dilaksanakan secara konsisten bagi membantu murid yang mengalami tekanan emosi.
Mariani turut berkongsi pemerhatiannya ketika menjalankan kajian berkaitan garis panduan menangani kes buli dan gangguan seksual di sekolah, termasuk sesi temu bual bersama guru kaunseling.
Menurutnya, terdapat keadaan apabila segelintir guru bimbingan dan kaunseling cuba melindungi situasi sebenar, sedangkan ketelusan amat penting bagi memastikan masalah yang dihadapi murid tidak berlarutan.
"Kadang-kadang ada guru bimbingan dan kaunseling ini cuba untuk melindungi keadaan yang sebenar. Jadi ini tidak boleh berlaku.
"Apa sahaja yang berlaku sekarang, kita harus terus telus supaya keadaan yang berlaku dalam negara kita ini boleh dielakkan daripada mencapai tahap yang membimbangkan kerana kanak-kanak ini adalah generasi masa akan datang.
"Intervensi psikososial itu perlu diperkukuhkan lagi, perlu diperhebatkan lagi dan guru bimbingan dan kaunseling yang bertugas perlulah mereka yang betul-betul dapat menjiwai jawatan itu dengan sebaik mungkin," tegasnya.
Pandangan itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keperluan memperkukuh pendidikan berteraskan Islam sejak peringkat awal bagi menangani keruntuhan akhlak dan gejala sosial, selain memberi perhatian serius terhadap isu kesihatan mental kanak-kanak.
Anwar turut menegaskan bahawa kemajuan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pembentukan sahsiah, adab, akhlak dan nilai kemanusiaan.