Ringkasan AI
- Marc Marquez memenangi Grand Prix Motosikal Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, mengukuhkan kedudukan teratas Kejuaraan Dunia MotoGP.
- Marquez menamatkan perlumbaan 20 pusingan dengan masa 40 minit 14.23 saat, diikuti Pedro Acosta di tempat kedua dan Alex Marquez di tempat ketiga.
- Kemenangan ketujuh musim ini membolehkan Marquez mengumpul 399 mata, 44 mata di hadapan pencabar terdekat, Jorge Martin yang tidak beraksi akibat kecederaan.
SEPANG: Pelumba Ducati Lenovo Team Marc Marquez mengukuhkan kedudukan di persada Kejuaraan Dunia MotoGP selepas mendominasi Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.
Pelumba Sepanyol yang memulakan perlumbaan dari petak kedua itu mempamerkan aksi cemerlang apabila merampas kedudukan pendahulu seawal selekoh pertama perlumbaan 20 pusingan itu selepas memintas adiknya, Alex Marquez dari BK8 Gresini Racing MotoGP yang bermula di petak utama.
Pelumba berusia 33 tahun itu mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan dalam keadaan cuaca panas sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan 40 minit 14.23 saat (s).
Kemenangan itu merupakan kejayaan ketujuh beliau pada musim ini, sekali gus membolehkannya mengumpul 399 mata, 44 mata di hadapan pencabar terdekat Jorge Martin daripada Aprilia Racing, yang terpaksa menarik diri daripada GP Malaysia kerana masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan pergelangan tangan.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing Pedro Acosta menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Alex melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
"Saya sangat fokus sepanjang hujung minggu ini. Sejak sesi Latihan Bebas 1 (FP1), saya keluar seolah-olah sedang melakukan serangan masa dan kemudian cuba mencari had ketika sesi latihan kerana seperti yang saya katakan, sudah tiba masanya untuk mengambil risiko.
"Kami melakukannya dan mengharungi perlumbaan yang sempurna, jadi saya sangat, sangat gembira. Tetapi mentaliti saya tidak boleh berubah. Saya perlu terus fokus dan terus memberikan tekanan. Tidak banyak perlumbaan yang tinggal, tetapi masih banyak perlu ditempuhi, jadi kami perlu kekal sangat fokus," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Saingan MotoGP 2026 akan diteruskan dengan GP Qatar dari 6 hingga 8 Nov, diikuti GP Portugal (20 hingga 22 Nov) dan GP Valencia (27 hingga 29 Nov).
-- BERNAMA