MALAYSIA
Digitalisasi kuatkan keadilan perundangan syariah - Dr Zulkifli

Dr Zulkifli, berkata antara langkah utama yang diambil kerajaan adalah pengenalan aplikasi e-Syariah dan Modul e-Nafkah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif digitalisasi dalam sistem perundangan syariah melalui platform e-Syariah, bertujuan memperkukuh keberkesanan, ketelusan, dan kemudahan akses kepada sistem keadilan syariah, terutama dalam melindungi hak wanita dan anak-anak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata antara langkah utama yang diambil kerajaan adalah pengenalan aplikasi e-Syariah dan Modul e-Nafkah.
Menurut beliau, aplikasi e-Syariah, yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei Apps Gallery, membolehkan orang ramai untuk mendaftar dan memeriksa status kes-kes seperti nafkah, perceraian, hak penjagaan anak, serta harta sepencarian secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah.
Tambah beliau, Modul e-Nafkah pula memberikan kemudahan untuk memantau pelaksanaan perintah nafkah secara sistematik, termasuk semakan status nafkah, kutipan, serta pemantauan pelaksanaan nafkah melalui platform dalam talian."Selain itu, Modul e-Nafkah juga disediakan untuk memudahkan pemantauan kes nafkah keluarga secara teratur, memastikan perintah nafkah dilaksanakan dengan tepat. Ia termasuk kemudahan untuk menyemak status nafkah, proses kutipan, serta pelaksanaan perintah nafkah secara dalam talian," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam meningkatkan akses keadilan wanita dalam kes keluarga, termasuk langkah digitalisasi mahkamah syariah, pemodenan prosedur guaman serta inisiatif lain bagi memperkukuh perlindungan hak dan kepentingan wanita.
Selain itu, Zulkifli menyatakan bahawa kerajaan juga telah memperkenalkan prapendaftaran Kes Syariah Kendiri (DIY e-Filing) serta penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh melalui Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Ini memudahkan pihak-pihak yang terlibat untuk hadir ke mahkamah tanpa perlu hadir secara fizikal.
“Ini selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI untuk memperkukuh sistem keadilan Syariah yang lebih telus, mesra pengguna dan berkesan, terutamanya dalam memastikan perlindungan hak serta kepentingan wanita dan anak-anak,” tambahnya
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami