NATIONAL
Dikehendaki Malaysia: Di mana Jho Low? Hanya 25 individu dalam senarai Interpol

Semakan mendapati nama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, tidak tersenarai dalam senarai tersebut. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Seramai 25 individu disenaraikan sebagai individu dikehendaki pihak berkuasa Malaysia menerusi Notis Merah yang dikeluarkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol) setakat ini.
Daripada jumlah tersebut, dua adalah warga Malaysia. Salah seorang daripadanya adalah bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar, 54 tahun, yang disabitkan dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sirul Azhar kini berada di luar negara selepas dipercayai melarikan diri semasa proses rayuan.
Seorang lagi individu dalam senarai itu adalah ejen insurans wanita, Kueh Koh Ing, yang diburu kerana terlibat dalam tiga kes pertuduhan penipuan skim insurans tidak wujud.Selebihnya 23 individu dalam senarai Notis Merah Interpol adalah warga asing yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia atas pelbagai kesalahan jenayah yang dilakukan di negara ini.
Semakan Astro AWANI mendapati empat daripadanya adalah suspek warga Korea Utara yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, yang berlaku pada 13 Februari 2017. Mereka adalah Ri Ji Hyon, O Jong Gil, Ri Jae Nam dan Hong Song Hac, berusia 40 hingga 64 tahun.
Turut tersenarai dalam Notis Merah Interpol adalah seorang warga United Kingdom, Romania, Belgium, Vietnam dan China serta dua warga Bangladesh dan Myanmar.
Juga disenaraikan adalah 10 warga Thailand termasuk seorang wanita.
Mereka adalah antara 6,563 individu yang disenaraikan sebagai individu dikehendaki menerusi Notis Merah Interpol yang dikeluarkan seluruh negara.
Sementara itu, dua lagi rakyat Malaysia turut berada dalam senarai dikehendaki Hong Kong atas kesalahan pengubahan wang dan Singapura bagi kesalahan bunuh.
Namun, semakan juga mendapati nama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, tidak tersenarai dalam senarai tersebut.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri sebelum ini menegaskan bahawa permohonan Notis Merah terhadap Jho Low masih lagi aktif dan terus dalam proses.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pernah dilaporkan berkata, kebiasaannya proses permohonan Notis Merah tersebut tidak mengambil masa yang lama dan akan dilakukan secepat mungkin bagi membantu serta melengkapkan siasatan kes.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami