Dasar kerajaan Arab Saudi yang melarang rakyat dan organisasi asing memiliki bangunan serta hartanah menghalang Tabung Haji daripada membelinya di Mekah dan Madinah.

Ketua pegawai eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail menjelaskan faktor berkenaan menyebabkan Tabung Haji tidak membuat pelaburan berbentuk pemilikan aset di negara itu.

Sebagai sebuah organisasi asing, Tabung Haji hanya dibenarkan melakukan pemajakan aset untuk tujuan operasi semasa dan di luar musim Haji.

"Jadi kita memang tak boleh beli hartanah macam kita beli di tempat-tempat lain, seperti di kuala lumpur atau di mana-mana tempat lain, kita hanya boleh pajak," kata Ismee.

"Jadi itu jadi satu kekakangan untuk kita memiliki. Tapi walaubagaimanapun kita sentiasa mencari peluang untuk kita memajak bangunan-bangunan terutamanya bangunan penginapan di mekah dan madinah bagi kegunaan jemaah Haji itu sendiri," tambah beliau.

Katanya, ketika ini tabung Haji memajak empat hotel penginapan, dua di Mekah dan dua di Madinah untuk jangka masa panjang.

Selain menjamin keselesaan jemaah Haji Malaysia, pemajakan juga membolehkan Tabung Haji mengawal kos penginapan yang meningkat saban tahun.

Hotel-hotel berkenaan yang dibuka di luar musim Haji terutamanya untuk jemaah umrah turut memberikan keuntungan kepada Tabung Haji.