Ahli kaji bumi tidak menyangkal dinosaur mungkin pernah hidup di Malaysia berdasarkan bukti dari beberapa kawasan di negara ini dengan batuannya berusia Jura-Kapur antara 203 juta hingga 65 juta tahun lampau sesuai untuk haiwan purba berkenaan hidup.

Ini dikuatkan lagi dengan penemuan tulang femur kiri, dinosaur sauropod yang pertama ditemui di Khon Kaen di Timur Laut Thailand pada tahun 1976 dalam batuan berusia Jura-Kapur.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Datuk Yunus Abd Razak berkata kawasan berusia Jura-Kapur dijumpai di Gunung Panti, Johor dan juga di Gunung Gagau yang bersempadan dengan Terengganu, Kelantan dan Pahang yang memberi keyakinan bahawa fosil dinosaur boleh ditemui.

"Bagaimanapun setakat ini kami belum bernasib baik untuk menemui fosil dinosaur kecuali fosil tumbuhan yang berusia Jura-Kapur yang hanya ditemui dalam lapisan batu pasir setakat ini", katanya kepada media selepas melawat lokasi penemuan fosil tumbuhan kuno berusia antara 270 hingga 340 juta tahun berhampiran kawasan projek pembinaan Ampangan Paya Peda, Hulu Besut di sini Isnin malam.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan melakukan ekspedisi kajian di beberapa kawasan bagi membuat cerapan geologi untuk mencari fosil fauna termasuk flora lagi pada masa akan datang.

Kata Yunus sejak tahun 1974 beberapa kawasan dalam negara termasuk Sungai Chincin di Terengganu dan Panti di Johor telah dikaji tetapi hanya hasil fosil flora sahaja ditemui.

Beliau berkata mungkin pihaknya akan mendapatkan pakar dari Thailand bagi mengesan fosil dinosaur kerana mereka berpengalaman melakukannya hingga menemuinya di negara mereka sebelum ini.

Katanya JMG dengan kerjasama Kumpulan Warisan Geologi Malaysia serta pakar geologi akan meneruskan kerja-kerja inventori, pencarian, pengelasan, penilaian dan penarafan berkaitan sumber warisan geologi di seluruh negara.

Usaha itu akan diteruskan dan hasilnya didedahkan untuk pengetahuan generasi akan datang, katanya.