PERDANA Menteri Britain, Keir Starmer, dijangka mengumumkan pengunduran daripada jawatan itu seawal Isnin susulan tekanan politik yang semakin memuncak selepas kemenangan besar Andy Burnham dalam pilihan raya kecil Makerfield baru-baru ini.
Difahamkan, Starmer telah mencapai keputusan tersebut selepas mengadakan beberapa siri perbincangan bersama anggota Kabinet, penasihat kanan Downing Street serta pemimpin kesatuan sekerja yang menyaksikan kedudukannya kini semakin goyah.
Bagaimanapun, sumber laporan antarabangsa memaklumkan, Starmer masih belum memuktamadkan keputusannya, dan beliau ketika ini sedang meluangkan hujung minggu bersama isterinya, Victoria, di kediaman rasmi pasangan itu bagi mempertimbangkan masa depan politiknya.
Sehubungan itu, beberapa tokoh kanan Parti Buruh menjangkakan satu kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan akan dibuat seawal Isnin.
Dalam pada itu, sumber parti yang rapat dengan Starmer menegaskan bahawa Perdana Menteri itu tidak akan berundur secara mengejut sehingga mewujudkan kekosongan dalam pentadbiran.
“Beliau tidak akan meninggalkan jawatan secara mendadak. Sebarang peralihan kuasa akan dilakukan secara berperingkat dan teratur,” kata sumber berkenaan yang dipetik agensi antarabangsa, pada Sabtu
Dalam perkembangan sama, kenyataan daripada Parti Buruh menyatakan Starmer dilihat semakin menerima hakikat bahawa beliau tidak lagi berupaya menstabilkan keadaan politik semasa.
Menurut sumber parti itu, pengunduran kini dilihat sebagai pilihan yang lebih wajar demi kepentingan negara dan masa depan Parti Buruh.
Pada masa yang sama, Burnham yang mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya kecil di Greater Manchester dijadual mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Isnin dan dijangka mengadakan pertemuan dengan Starmer dalam masa terdekat.
Malah, penyokong Burnham mendakwa beliau kini mendapat sokongan lebih 201 Ahli Parlimen Parti Buruh bagi mencabar kepimpinan Starmer sekiranya Perdana Menteri itu enggan berundur secara sukarela.
Jumlah tersebut dianggap signifikan kerana mewakili lebih separuh daripada keseluruhan Ahli Parlimen Parti Buruh.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Starmer untuk terus mengekalkan kepercayaan majoriti dalam Dewan Rakyat Britain ketika tekanan terhadap kepimpinannya semakin memuncak.